JOHAN acara 100 Meter lelaki, Azeem (tengah) meraikan kejayaan di Kejohanan Olahraga Perak Allcomers di Stadium Perak hari ini. FOTO BERNAMA
JOHAN acara 100 Meter lelaki, Azeem (tengah) meraikan kejayaan di Kejohanan Olahraga Perak Allcomers di Stadium Perak hari ini. FOTO BERNAMA
Aida Adilah Mat


SELEPAS melakarkan rekod baru kejohanan dalam acara 200 meter (m) di Perak All Comers, pelari muda yang mendapat julukan ‘Usin Bolt’ Malaysia, Muhammad Azeem Mohd Fahmi mempamerkan aksi konsisten untuk merangkul emas dalam acara 100m, hari ini.

Mohd Azeem remaja terpantas dunia berlari di lorong enam itu mencatatkan masa 10.88s untuk menjadi pelari pertama melintasi garisan penamat menewaskan Muhd Arsyad (Sukma Johor) 11.04s dan Abdul Latif Romly (MSN Para) 11.04s masing-masing membawa pulang perak dan gangsa.

Biarpun catatan itu jauh daripada rekod peribadi terbaiknya iaitu 10.57s yang dilakukan November tahun lalu di Kejohanan Terbuka Sekolah Sukan Bukit Jalil namun ia satu permulaan yang baik buat pelari kelahiran Perak berusia 16 tahun itu.

“Kejohanan Perak All Comers ini adalah pertandingan pertama saya untuk tahun ini. Saya tidak menyasarkan apa-apa tapi lebih kepada untuk memanaskan badan dan menyesuaikan diri dengan pertandingan.

“Tapi saya akan berusaha lebih lagi selepas ini apabila turun beraksi di Kejohanan MSS di Negeri Sembilan pada April nanti,” katanya.

Kelmarin, Azeem turut menggegarkan lapangan olahraga di Perak apabila mencipta rekod baru dalam acara 200m selepas mencatat 21.04 s, mengatasi catatan masa 21.44s yang dilakukan G.Aravinn pada 2016.

Catatan itu turut melepasi masa kelayakan 21.38s ke Kejohanan Olahraga Remaja dunia di Nairobi, Kenya yang akan berlangsung dari 7 hingga 12 Julai ini.

“Saya memang mahu beraksi di Kenya dan jika diberi peluang saya mahu capai kemuncak prestasi di sana sebelum kembali ke Malaysia untuk beraksi di SUKMA (Sukan Malaysia) Johor.

“Sebenarnya saya tak jangka dapat catat masa itu sebab saya lari bukan dalam keadaan paling selesa. Mungkin sudah rezeki saya,” katanya.

Azeem mencipta fenomena dalam sukan negara apabila pernah bergelar pelari terpantas dunia dalam acara 200m, 21.24s di Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) Mei tahun lalu ketika berusia 15 tahun.

Dia terus konsisten selepas itu apabila memperbaiki catatan berkenaan, 21.13s di Kejohanan Sukan Sekolah-Sekolah Thailand pada bulan Ogos.

Rekod kebangsaan acara 200m iaitu 20.77s dimiliki oleh Russel Alexander Nasir Talib yang dicipta pada Kejohanan Trek Klasik Queensland, Brisbane, Australia pada Mac 2019.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Februari 2020 @ 8:08 PM