Fabian Ruiz (kiri) penjaring gol tunggal berdepan Inter. FOTO Reuters
Fabian Ruiz (kiri) penjaring gol tunggal berdepan Inter. FOTO Reuters
AFP

FABIAN Ruiz menjaringkan gol tunggal perlawanan untuk Napoli mengejutkan Inter Milan 1-0 pada aksi pertama separuh akhir Piala Itali di San Siro, pagi ini.

Perancang tengah Sepanyol itu memecah kebuntuan pada minit ke-57 untuk kembali meletakkan skuad kendalian Gennaro Gattuso di landasan kemenangan selepas kekalahan 3-2 dalam aksi liga kepada Lecce hujung minggu lalu.

Ruiz menyambut umpanan Giovanni Di Lorenzo, menewaskan tiga pertahanan Inter sebelum melencong bola melepasi Danielle Padelli.

“Inilah Napoli sebenar. Pujian harus diberikan kepada barisan pemain,” kata Gattuso yang skuad kendaliannya kini berada di kedudukan ke-11 carta Serie A.

Namun dia memberi amaran : “Tiada apa-apa untuk diraikan, kami belum mencapai apa-apa.”

Inter kendalian Antonio Conte tampil kurang meyakinkan selepas kemenangan 4-2 ke atas tetangga AC Milan yang kembali meletakkan mereka di puncak Serie A.

“Pertemuan tetangga itu amat meletihkan,” kata Conte.

“Tetapi kita bercakap tentang Napoli, pasukan yang menewaskan Lazio, Juventus, Liverpool.

“Ia pasukan yang kuat walaupun tidak berada di kedudukan terbaik dalam liga.”

Kali terakhir Napoli memenangi trofi berkenaan pada 2014, dan membawa bekalan tipis itu pada perlawanan kedua di Stadium San Paolo pada 5 Mac untuk penentuan ke final.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Februari 2020 @ 8:16 AM