AFIF (kanan) bersaing dengan pelumba Idemitsu Honda Yuzy Racing, Azroy Hakeem pada pusingan akhir Cub Prix, semalam.
AFIF (kanan) bersaing dengan pelumba Idemitsu Honda Yuzy Racing, Azroy Hakeem pada pusingan akhir Cub Prix, semalam.
skandar Shah Mohamed


SEPANG: PETRONAS Sprinta Yamaha-CKJ Racing membuktikan keunggulan mereka apabila membolot empat gelaran pada Kejuaraan Cub Prix Malaysia PETRONAS yang berakhir semalam.

Pada perlumbaan pusingan akhir di Litar Antarabangsa Sepang, pasukan itu memuktamadkan gelaran sebagai pasukan terbaik CP150, CP115 dan juara keseluruhan pelumba dalam dua kategori berkenaan.

Kejayaan itu diraih menerusi juara bertahan kelas CP150, Ahmad Afif Amran yang mengutip 167 mata manakala Syukran Aizat Yusoff merangkul kejuaraan sulungnya dalam kelas CP115 dengan 176 mata.

Kecemerlangan dua pelumba berpengalaman itu sekali gus membantu PETRONAS Sprinta Yamaha-CKJ Racing muncul pasukan terbaik dengan mengungguli keseluruhan 10 saingan musim ini.

Pemilik pasukan itu, Che Ku Jonaidi Che Ku Sin menganggap pencapaian itu luar biasa kerana mereka hanya menyasarkan dua gelaran kejuaraan.

“Alhamdulillah, berkat usaha gigih semua pelumba dan kru sepanjang musim ini membuahkan hasil dengan meraih empat gelaran buat pasukan.

“Kejayaan ini menyuntik semangat kami untuk terus bersaing musim depan termasuk perlumbaan di peringkat Asia,” katanya.

Pencapaian itu turut mengulangi rekod yang pernah diraih PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor pada 2017.

“Ia detik permulaan yang baik buat kami untuk terus menambah baik kualiti pelumba sedia ada hingga ke peringkat lebih tinggi.

“Selain itu, kami berhasrat membentuk pelumba pelapis untuk bersaing secara kompetitif pada masa depan,” kata Che Ku Jonaidi.

Bagi kelas CP115, PETRONAS Sprinta Yamaha-CKJ Racing mengutip keseluruhan 242 mata diikuti PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor (225) dan Idemitsu Honda Yuzy Racing (129).

Pasukan itu turut cemerlang dalam kelas CP150 dengan memungut 249 mata, diikuti PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor (228) dan Idemitsu Honda Yuzy Racing (188).

Dalam pada itu, pelumba PETRONAS Sprinta Yamaha-31 Racing, Aliff Danial muncul juara keseluruhan bagi kelas Wira dengan mengumpul 145 mata.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Disember 2019 @ 5:30 AM