MUHAMMAD AIMAN TAHIRUDDIN
MUHAMMAD AIMAN TAHIRUDDIN
Sukhairi Thani


JUARA kategori Wira KBS 2017, Muhammad Aiman Tahiruddin tidak gentar untuk berdepan cabaran pelumba senior meskipun terus melangkah ke kategori CP150 bagi saingan Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS yang membuka tirai di Litar Tangkak hujung minggu ini.

Pelumba berusia 17 tahun itu diberi sepenuh kepercayaan oleh pasukan baharunya musim ini, PETRONAS Sprinta Yamaha-CKJ untuk beraksi dalam kelas perdana bergandingan dengan naib juara keseluruhan CP150 2017, Ahmad Afif Amran dan seorang lagi pendatang baharu pasukan, Md Hafiz Azman.

“Saya gembira dan amat teruja kerana dapat beraksi dalam kelas CP150 musim ini,” kata Aiman yang meraih enam podium termasuk tiga kemenangan musim lalu.

“Sesi pertama amat penting buat saya. Saya berharap dapat menyesuaikan diri dengan cepat dan memahami rentak pelumba senior. Mujurlah banyak latihan dan persediaan dilakukan sepanjang tempoh rehat lalu bagi membantu saya untuk lebih memahami jentera,” kata Aiman.

Perkara sama turut diakui seorang lagi pendatang baharu yang beralih dari kelas Wira ke kelas CP150, Aiman Azman.

Pelumba berusia 18 tahun itu akan bergandingan dengan dua lagi pelumba rookie CP150, Azroy Hakeem Anuar dan Harith Farhan Baharin bersama pasukan Idemitsu Honda Givi Yuzy Racing.

“Saya dan pasukan mempunyai cabaran amat besar tahun ini. Ketiadaan Zaqhwan Zaidi menyaksikan pasukan kami muncul barisan termuda di litar. Azroy dan Harith pernah beraksi dalam kelas CP115 manakala saya terus melangkah ke kelas CP150 dari kelas Wira. Pengalaman menjadi kekurangan kami namun saya percaya seluruh pasukan akan bekerja keras untuk membantu kami,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Mac 2018 @ 7:38 PM