Aksi Md Akid Aziz pada Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas 2018. FOTO ZULFADHLI ZULKIFLI
Aksi Md Akid Aziz pada Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas 2018. FOTO ZULFADHLI ZULKIFLI
Fadhli Ishak


KUALA LUMPUR: Pendatang baru kategori CP150, Akid Aziz menampilkan persembahan matang ketika dia mendominasi sesi latihan dan kelayakan pada hari pembukaan pusingan kedua Kejuaraan Cub Prix Malaysia AAM hari ini.

Pelumba Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor itu mendahului dalam sesi latihan bebas satu (47.786 saat) dan dua (47.704s) di Litar MAEPS.

Dia kemudian mencatat masa 46.335s selaku penunggang terpantas sesi kelayakan manakala pelumba Petronas Sprinta Yamaha CKJ, Hafiz Nor Azman kedua dengan 46.989s manakala rakan sepasukan Akid, Kasma Daniel Kasmayuddin (47.180s) ketiga.

Akid, 20, berkata dia gembira dengan persembahan awalnya tetapi tidak akan terbawa-bawa menjelang saingan ‘superpole’ esok yang akan menentukan 10 petak terbaik.

"Saya ada sedikit masalah pada awal saingan tetapi berjaya mengatasinya dan saya bersyukur dapat mencipta masa terpantas," kata Akid yang memenangi gelaran keseluruhan CP115 pada 2016 dan 2017.

"Saya agak gembira dengan pelarasan jentera dan saya mahu terus meningkat pada sesi pemanas badan esok.

"Saya harap akan dapat melakukan yang terbaik dalam ‘superpole’ tetapi ia bukan mudah, boleh saya katakan peluangnya 50-50."

Keputusan kelayakan: 

CP150: 1 Akid Aziz (Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor) 46.335s, 2 Hafiz Nor Azman (Petronas Sprinta Yamaha CKJ) 46.989s, 3 Kasma Daniel Kasmayuddin (Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor) 47.180s, 4 Azrol Hakeem Anuar (Idemitsu Honda GiVi Yuzy Racing) 47.318s, 5 Ramdan Rosli (Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor) 47.362s.

CP115: 1 Tengku Amirul Haffirudin (Motul Zeneos Yamaha YY Pang Racing) 48.531s, 2 Fareez Afeez (Motul Zeneos Yamaha YY Pang Racing) 48.952s, 3 Anuar Ibrahim Salim (Super KIP Honda Racing Academy) 49.135s, 4 Aliff Aiman Tumiran (Arata Fatt Fatt ASP JDT GL Team) 49.246s, 5 Nazirul Izzat Md Bahauddin (Petronas Sprinta Yamaha CKJ) 49.304s.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Julai 2018 @ 5:58 PM