MD Syafiq (tengah) menjuarai CP115 pada Pusingan 8 Kejuaraan Cub Prix Malaysia Petronas di Litar Lumba Tangkak. FOTO Adi Safri
MD Syafiq (tengah) menjuarai CP115 pada Pusingan 8 Kejuaraan Cub Prix Malaysia Petronas di Litar Lumba Tangkak. FOTO Adi Safri
Ahmad Ismail

PELUMBA Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor, Md Syafiq Rosli bijak mengambil kesempatan untuk memintas pada pusingan ketiga terakhir bagi membolehkannya menjuarai kelas CP115 pada Pusingan 8 Kejuaraan Cub Prix Malaysia Petronas di Litar Lumba Tangkak, semalam.

Sebaik memintas, Md Syafiq berjaya menjarakkan kedudukan sebelum menamatkan perlumbaan dengan selesa untuk muncul juara.

“Sepanjang perlumbaan, saya sentiasa fokus untuk berada di kedudukan depan. Perlumbaan hari ini sangat sengit kerana semua pelumba saling mencabar antara satu sama lain.

“Saya mampu mengekalkan fokus dan bertuah kerana jentera semakin mantap ketika perlumbaan menghampiri penamat sekali gus membolehkan saya memintas pelumba di depan. Sebaik berada di kedudukan pertama, saya terus memecut tanpa memikirkan pelumba lain kerana sedar hanya tinggal beberapa pusingan sebelum perlumbaan tamat,” katanya.

Md Syafiq menamatkan 12 pusingan perlumbaan dengan catatan masa 11:40.204s, meninggalkan pelumba pasukan Idemitsu Honda Yuzy Racing, Md Aiman Azman (11:41.358s) manakala tempat ketiga dimenangi pelumba ELF Koyoko Honda KC Racing Team, Md Firdaus Md Hamdan (11:47.622s).

Sementara itu, walaupun menamatkan perlumbaan di kedudukan keenam, Pelumba Petronas Sprinta Yamaha-CKJ Racing, Ahmad Syukran Aizat Md Yusoff masih unggul mendahului kategori CP115 dengan kutipan 135 mata.

Kemenangan di Tangkak membolehkan Md Syafiq menduduki kedudukan kedua keseluruhan dengan 133 mata.

Bagi kategori Wira pula, pelumba pasukan ONEXOX SAG Team, Md Izzat Raduan meraih kemenangan pertamanya musim ini dengan catatan masa 9:32.068s.

Dua pelumba pasukan Petronas Sprinta Yamaha-31 Racing memenangi tempat kedua dan ketiga, menerusi Awal Al Fikri Yusni (9:35.899s) dan Md Adam Haikal Jahar (9:37.665s).

Bagaimanapun, kedudukan keseluruhan masih dimiliki Md Zaki Ahmad Zamri (MOS William #LLRKS CYT Racing) dengan 123 mata walaupun menamatkan perlumbaan di tempat keempat dengan masa 9:38.395s.

Pusingan 9 kejuaraan ini akan berlangsung di Jempol, Negeri Sembilan pada 16-17 November ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Oktober 2019 @ 5:40 AM