Skuad hoki negara masih belum cukup ampuh untuk ke Sukan Olimpik. FOTO FIH
Skuad hoki negara masih belum cukup ampuh untuk ke Sukan Olimpik. FOTO FIH
Saiful Affendy Sapran


KAPTEN skuad hoki lelaki negara, Mohamad Sukri Abdul Mutalib mengakui dia serta barisan pemain lain sudah memberikan segala-galanya tetapi masih belum mencukupi untuk menewaskan Britain pada aksi kelayakan Sukan Olimpik Tokyo di London.

Kegagalan itu melengkapkan kemarau 20 tahun Malaysian Tigers gagal ke temasya sukan terbesar dunia itu sejak kali terakhir pada edisi 2000 di Sydney.

"Britain adalah pasukan yang cukup baik. Pada aksi pertama kami ketinggalan dengan tiga jaringan dan ia memberikan lebih tugasan buat kami untuk menyerang pada aksi kedua ini.

"Walaupun ia tidak menjadi seperti yang diharapkan, tetapi saya tetap berbangga dengan usaha keras seluruh pasukan," katanya.

Skuad negara tewas 1-4 pada perlawanan pertama sekali gus berdepan tugas sukar untuk bangkit pada aksi timbal balik.

Bagaimanapun hasrat untuk melihat kebangkitan itu gagal selepas anak buah Roelant Oltmans tewas 2-5 pada aksi kedua, semalam sekali gus menyaksikan Britain menewaskan Malaysia menerusi agregat 9-3.

Pada perlawanan yang berlangsung di Pusat Hoki dan Tennis Lee Valley itu, Britain di depan menerusi penalti stroke disempurnakan Alan Forsyth minit ke-9 sebelum Sam Ward meledak jaringan padang dua minit kemudian.

Mohd Fitri Saari memberi harapan apabila menyempurnakan pukulan sudut penalti minit ke-24 tetapi Ward menambah gol ketiga Britain minit ke-31.

Pakar pukulan sudut penalti negara, Razie Rahim menyumbang gol kedua m-40 tetapi Forsyth terus memadamkan impian Malaysian Tigers apabila menambah dua gol m-56 dan m-57 sekali gus melakar hatrik.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 November 2019 @ 3:20 PM