Pemain Malaysia, Marhan Jalil (tengah), mengawal bola dari pemain Kanada, Lain Smythe (kanan), ketika aksi final pusingan akhir siri FIH.
Pemain Malaysia, Marhan Jalil (tengah), mengawal bola dari pemain Kanada, Lain Smythe (kanan), ketika aksi final pusingan akhir siri FIH.
Saiful Affendy Sapran


MALAYSIA terlepas peluang untuk muncul juara Pusingan Akhir Siri FIH selepas tewas 2-3 kepada Kanada pada aksi final di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil malam ini.

Meskipun Malaysian Tigers sudah mengesahkan tempat ke kempen kelayakan Sukan Olimpik Tokyo pada hujung Oktober dan awal November depan selepas muncul dua pasukan terbaik di kejohanan ini, namun kejayaan itu dilihat tidak lengkap kerana mereka gagal untuk muncul juara.

Skuad hoki negara mempamerkan aksi meyakinkan di suku pertama dengan penyerang Muhammad Firhan Ashari meletakkan Malaysia di depan minit ke-8 berpunca daripada satu serangan balas.

Namun Kanada bangkit di suku kedua bermula dengan pukulan sudut penalti kapten pasukan Scott Tupper sebelum Brenden Bissett menambah gol kedua minit ke-22, juga menerusi pukulan sudut penalti.

Firhan Ashari (kiri) mengawal bola dari pemain Kanada, Shuki Panesar, ketika aksi final. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali.
Firhan Ashari (kiri) mengawal bola dari pemain Kanada, Shuki Panesar, ketika aksi final. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali.

Anak buah Roelant Oltmans mempunyai peluang keemasan untuk menyamakan kedudukan minit ke-28 selepas dihadiahkan penalti stroke, namun Fitri Saari mensia-siakan peluang itu selepas tolakannya tersasar.

Sedar perlu mencari gol penyamaan, Malaysian Tigers mempamer aksi agresif namun ketika mereka berusaha untuk mencari gol, Kanada menambah gol ketiga menerusi jaringan padang James Kirkpatrick minit ke-43.

Seperti Fitri, abangnya Faizal berpeluang untuk merapatkan jurang menerusi penalti stroke minit ke-51, tetapi tolakannya dinafikan penjaga gol Kanada, Antoni Kindler.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan untuk menyaksikan perlawanan final itu yang hadiri kira-kira 8,000 penyokong.

Sementara itu, Itali yang tewas kepada Kanada pada aksi separuh akhir, meraih tempat ketiga selepas menewaskan Austria 2-1 pada penentuan tempat ke-3/4.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Mei 2019 @ 10:02 PM