Pemain hoki negara (kiri) cuba melepasi pemain Britain. FOTO Ihsan Hokita
Pemain hoki negara (kiri) cuba melepasi pemain Britain. FOTO Ihsan Hokita
Saiful Affendy Sapran


HASRAT skuad hoki lelaki negara untuk layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 lebur selepas kecundang 2-5 kepada Britain pada perlawanan kelayakan kedua hari ini sekali gus tewas menerusi agregat 3-9.

Kekalahan itu adalah yang kedua dialami skuad negara selepas tewas 1-4 pada perlawanan pertama.

Berlangsung di Pusat Hoki dan Tennis Lee Valley, Britain di depan menerusi penalti stroke disempurnakan Alan Forsyth minit ke-9 sebelum Sam Ward meledak jaringan padang dua minit kemudian.

Mohd Fitri Saari memberi harapan apabila menyempurnakan pukulan sudut penalti minit ke-24 tetapi Ward menambah gol ketiga Britain minit ke-31.

Pakar pukulan sudut penalti negara, Razie Rahim menyumbang gol kedua minit ke-40 tetapi Forsyth terus memadamkan impian Malaysian Tigers apabila menambah dua gol minit ke-56 dan 57 sekali gus melakar hatrik.

Kali terakhir skuad negara mara ke Olimpik adalah pada edisi 2000 di Sydney.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 November 2019 @ 6:46 AM