TUNKU Ismail Sultan Ibrahim. — FOTO Owee Ah Chun
TUNKU Ismail Sultan Ibrahim. — FOTO Owee Ah Chun
Firdaus Hashim


SELEPAS dikritik hebat oleh segelintir pihak yang mengatakan kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) sebagai tempat ‘pembunuh karier’ akhirnya dijawab pemilik kelab, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang menyifatkan dakwaan itu tidak tepat.

Jelas Tunku Ismail, ia sengaja ditimbulkan bagi memberi persepsi buruk untuk menakut-nakutkan mengenai minit permainan terhad seseorang pemain apabila menyertai skuad Harimau Selatan.

Sebaliknya beliau tampil mempertahankan polisi kelab itu yang menekankan aspek persaingan dalam pasukan bagi merebut tempat.

Katanya, pemain muda seperti Safawi Rasid dan Akhyar Rashid adalah bukti pasukan itu sentiasa menyokong perkembangan karier pemain walaupun baru berusia 22 dan 20 tahun.

“Kalau nak main setiap perlawanan pergi PKNP FC dan Felda United. Anda akan dapat kesebelasan pertama bola sepak setiap perlawanan.

AFIQ (kiri) kerap beraksi dalam kesebelasan utama JDT. — FOTO Hairul Anuar Rahim
AFIQ (kiri) kerap beraksi dalam kesebelasan utama JDT. — FOTO Hairul Anuar Rahim

“Untuk berada dalam kelab bola sepak profesional, anda perlu berjuang untuk mendapatkannya. Itu yang menjadikannya seorang pemain bola profesional.

“Tapi kalau sebagai pemain dan tak nak bertarung untuk dapatkan tempat jadi anda tidak akan menjadi baik, pasal anda (pemain) akan berada dalam kedudukan selesa.

“Dulu saya bawa Safawi ketika dia berusia 19 tahun dan kini dia bermain untuk setiap perlawanan. Adam Nor Azlin (pertahanan) kini mendahului senior di sana dan bermain dalam ACL (Liga Juara-Juara Asia). Malah, Safawi dan Akhyar bermain dalam ACL,” katanya.

Tunku Ismail turut menjadikan pemain tengah, Afiq Fazail sebagai contoh tepat seseorang pemain berpotensi mengalami peningkatan prestasi hasil pengalaman beraksi bersama JDT.

Ujarnya, sikap tidak pernah berputus asa menyaksikan Afiq kini berjaya disenaraikan dalam skuad Harimau Malaya bagi menghadapi aksi Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 bertemu Thailand dan Indonesia pada 14 dan 19 November ini.

“Dulu ada orang kenal Afiq Fazail? Tapi dia bermain untuk tempatnya, dekat tengah kita ada Natxo (Natxo Insa), kita ada Hariss (Hariss Harun) dan yang lain juga tapi kerana dia bertarung untuk tempat dalam kesebelasan utama, hari ini dia menjadi semakin baik hingga dipanggil peringkat kebangsaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Oktober 2019 @ 8:12 PM