Pemain JDT, Safawi Rasid (tengah) diasak pemain Penang FC. FOTO FB Johor Southern Tigers
Pemain JDT, Safawi Rasid (tengah) diasak pemain Penang FC. FOTO FB Johor Southern Tigers
Rizar Mohd Noor


Johor Bahru: Sukar menguasai posisi tengah menjadi punca utama Johor Darul Ta'zim (JDT) sering diberi tekanan Penang FC selepas terpaksa menanti sehingga penghujung aksi untuk melakar kemenangan 2-0 pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar, malam tadi.

Pengendali JDT, Benjamin Mora mengakui barisan pemain Tomas Trucha kerap mematikan gerakan di posisi tengah dengan memberi tekanan sehingga sukar buat Natxo Insa, Leandro Velazquez dn Afiq Fazail bebas bergerak.

Katanya, bukan sahaja pasukan lawan beri tekanan di posisi tengah, benteng pertahanan mereka juga begitu kemas menutup ruang untuk Safawi Rasid dan Gonzalo Cabrera menyusup masuk melakukan serangan berbahaya.

"Ruang agak terhad terutama di posisi tengah untuk pemain saya bergerak dan terpaksa menarik keluar pemain lawan daripada berada dalam keadaan kompak dan cara itu barulah pemain saya mampu menyusup masuk dengan lebih agresif dan hasilnya dua gol berjaya dijaringkan.

"Saya tidak nafikan pemain lawan pantas bertukar posisi untuk membantu rakan masing-masing dan berjaya menghalang beberapa percubaan berbahaya sehingga menyebabkan pemain JDT tampak beraksi dalam tekanan.

"Apapun, Natxo, Afiq dan Leandro tidak tertipu dengan helah barisan pemain lawan selepas mereka bersungguh-sungguh menguasai posisi tengah dan anda lihat sendiri beberapa umpanan berbahaya mampu dilakukan kepada Fernando (Rodriguez) dan Safawi," katanya.

Apapun, Mora tetap lega selepas sasaran mencatat dua kemenangan berturut-turut pada saingan liga elit domestik membuahkan hasil selain dua perlawanan yang diharungi benteng masih kebal apabila tidak dibolosi.

Ditanya mengenai persembahan Safawi yang agak tenggelam selepas kerap diasak dua dan tiga pemain lawan, Mora menegaskan pemain itu akan berdepan situasi itu pada aksi seterusnya dan dia harus segera menyesuaikan diri dengan corak permainan keras pemain lawan.

"Safawi kena biasakan diri apabila turun beraksi pada perlawanan seterusnya kerana dua atau tiga pemain lawan akan mengekori rapat pergerakannya dan dia kena tahu bila untuk bermain dengan pantas dan pastikan bola tidak hilang.

"Apapun saya percaya Safawi belajar dengan pengalaman yang dilalui. Dia seorang pemain yang bermotivasi malah kerap akan bangkit memperbaiki kesilapan," kata Mora.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Mac 2021 @ 11:51 AM