MD Haziq  juara kategori CP150 Pusingan 8 Kejuaraan Cub Prix Malaysia Petronas di Litar Lumba Tangkak. FOTO Adi Safri
MD Haziq juara kategori CP150 Pusingan 8 Kejuaraan Cub Prix Malaysia Petronas di Litar Lumba Tangkak. FOTO Adi Safri
Ahmad Ismail

WALAUPUN memulakan perlumbaan di petak ketujuh, ketangkasan pelumba muda, Md Haziq Md Fairues, 17, dari pasukan Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor membolehkannya muncul juara kategori CP150 di pusingan kelapan Kejohanan Cub Prix Malaysia Petronas di Litar Lumba Tangkak, semalam.

Haziq ketika ketika ditemui berkata, dia nekad menduduki podium untuk baki dua perlumbaan selepas ini iaitu di Litar Jempol pada 16-17 November dan di Litar Sepang pada 7-8 Disember ini.

Katanya, mana-mana kedudukan akan membolehkannya mengumpul mata lebih banyak sekali gus berpeluang muncul juara keseluruhan kategori CP150.

“Alhamdulillah, keadaan cuaca yang baik hari ini membolehkan saya melakukan pecutan di garisan lurus sebelum memintas pelumba lain di selekoh. Pada masa sama, saya juga perlu menjaga keadaan motosikal terutama enjin dan tayar bagi mengelak kerosakan. Saya tahu... saya boleh memecut laju namun perlu bertindak bijak bagi mengelak kejadian tidak diingini.

“Walaupun mendapat tentangan hebat pelumba lain, Alhamdulillah berbekalkan semangat dan tidak berputus asa saya mampu memenangi perlumbaan ini,” katanya.

Haziq berterima kasih kepada semua rakan sepasukan yang memberikan dorongan dan peluang kepadanya sepanjang musim ini selain penyokong yang tidak jemu memberikan sokongan di litar.

Katanya, strateginya bersaing secara selamat membuahkan hasil untuk memintas pesaing terdekat, Nazirul Izzat Md Bahauddin sekali gus menguasai perlumbaan sehingga ke garisan penamat.

Haziq memenangi perlumbaan dengan catatan masa 14:50.393 saat manakala tempat kedua dimenangi pelumba Petronas Sprinta Yamaha-CKJ Racing, Ahmad Afif Amran, (+ 1.985 saat) dan tempat ketiga pelumba ONEXOX TKKR SAG Team, Nazirul Izzat (+ 2.399 saat).

Kemenangan itu membolehkan Haziq menduduki kedudukan ketiga keseluruhan kelas CP150 dengan 93 mata, di belakang pelumba Idemitsu Honda Yuzy Racing, Azroy Hakeem Anuar yang mengumpul 102 mata manakala Ahmad Afif di tangga teratas dengan 127 mata.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Oktober 2019 @ 5:50 AM