Adam (kiri) dan Firdaus berpeluang berlatih di satu daripada kelab terbesar di Eropah.
Adam (kiri) dan Firdaus berpeluang berlatih di satu daripada kelab terbesar di Eropah.
Meor Riduwan Meor Ahmad


PENGALAMAN cukup berharga buat dua pemain remaja berbakat, Adam Alif Mustafa dan Muhammad Firdaus Amirrudin apabila berpeluang mengikuti Kem Explorer Allianz (AEC)-edisi bola sepak di Munich Jerman dari 22 hingga 27 Ogos lalu.

Kedua-duanya menyertai 50 pemain bola sepak lain berusia 14 hingga 16 tahun dari 23 negara termasuk Jerman, Sepanyol, Argentina, Afrika Selatan Sepanjang kem berlangsung, Adam dan Firdaus mengambil bahagian dalam sesi latihan harian bersama jurulatih belia FC Bayern Munich di tempat latihan kelab Saebener Strasse.

Mereka ditempatkan mengikut tahap kemampuan masing-masing dan berlatih dengan pelbagai teknik seperti hantaran bola, kawalan bola dan ketepatan menjaringkan bola.

Selain itu, pemain tengah FC Bayern, Thiago Alcantara dari Sepanyol juga membuat penampilan mengejut dalam salah satu sesi.

"Bukan setiap hari anda mendapat peluang berlatih di satu daripada kelab terbesar di Eropah. Saya berasa bertuah kerana memiliki peluang ini.

"Semuanya cukup sempurna di sini daripada segi cuaca hingga ke sesi latihan dan teknik yang kami pelajari. "Malah, padang latihan Saebener Strasse sangat mengagumkan.

Saya fikir ini adalah salah satu pengalaman terbaik dalam hidup saya, " kata Adam, 16, dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ahmad di Pekan, Pahang.

Firdaus, 16, dari SMK Khir Johari di Sungai Petani, Kedah berkata, selain menjalani latihan, pelatih program dibawa melawat ke stadium Allianz Arena, menonton perlawanan antara FC Bayern yang menang 3-0 ke atas Schalke 04 di Bundesliga, meneroka ibu kota Bavaria dan mempamerkan kemahiran dalam kejohanan bola sepak pada hari terakhir kem.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Allianz Malaysia Berhad, Zakri Khir berkata, penting untuk membuat pelaburan bagi golongan belia.

"Adalah penting untuk memberi inspirasi kepada mereka dan memupuk perkembangan bakat dan kebolehan serta komuniti mereka.

"Ini sentiasa menjadi matlamat kami menerusi Kem Bola Sepak Junior Allianz dan AEC -edisi bola sepak.

"Ia adalah satu kelebihan untuk mampu mewujudkan peluang bagi bakat muda di Malaysia seperti Adam dan Firdaus merasai impian yang mustahil," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Ogos 2019 @ 10:42 PM