BENZEMA (kiri) meraikan kemenangan bersama Ramos (tengah) selepas tamat perlawanan yang memaksa Real untuk bangkit selepas ketinggalan satu gol. FOTO/AFP
BENZEMA (kiri) meraikan kemenangan bersama Ramos (tengah) selepas tamat perlawanan yang memaksa Real untuk bangkit selepas ketinggalan satu gol. FOTO/AFP
AFP

MADRID: Karim Benzema meledak dua gol manakala Gareth Bale turut mencatat nama selaku penjaring buat Real Madrid ketika bangkit daripada ketinggalan sebelum mengalahkan Girona 4-1, awal pagi tadi.

Turun untuk memburu kemenangan kedua musim ini, juara Eropah itu bagaimanapun ketinggalan selepas Borja Garcia menghasilkan gol pendahuluan Girona pada minit ke-17.

Real seolah-olah hilang arah dan sibuk mengekang serangan Girona hingga mengakibatkan Marcelo kelam kabut mengendalikan benteng pertahanan Real.

Tetapi kebangkitan Real bermula apabila Marco Asensio dijatuhkan pemain lawan di dalam kotak penalti dan kapten, Sergio Ramos mudah menyempurnakan sepakan ala 'panenka' pada minit ke-39.

Asensio sekali lagi dikasari oleh Pere Pons dan Real beroleh penalti kedua. Kali ini, giliran Karim Benzema untuk menyempurnakannya dan ia adalah jaringan pertamanya musim ini.

Bale meledak gol ketiga pasukannya selepas memperdayakan pertahanan Girona hasil hantaran Isco.

Benzema menjaringkan gol keduanya pada minit ke-80 selepas menerima hantaran lintang Bale.

Pengadil perlawanan terpaksa melihat semula rakaman VAR selepas pemain Girona mendakwa Benzema berada dalam kedudukan ofsaid tetapi tetap mengesahkan jaringan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Ogos 2018 @ 8:30 AM