NAFUZI Zain. Foto melakaunited.my
NAFUZI Zain. Foto melakaunited.my
Malik Muhamad dan Mohd Amin Jalil


KUALA TERENGGANU: Pemangku ketua jurulatih Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain tidak rela pemainnya terjerat dengan taktikal Negeri Sembilan, esok.

Sebaliknya beliau mahukan anak buahnya berwaspada bagi memastikan kemenangan menjadi milik skuadnya dalam saingan peringkat kumpulan Piala Malaysia yang berlangsung di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah (SSINS).

Bekas penyerang Terengganu itu juga menuntut anak buahnya berjuang hingga minit terakhir permainan selain perlu memanfaatkan peluang beraksi di laman sendiri untuk melakar kemenangan ketiga berturut-turut bagi mengintai peluang lebih awal layak ke suku akhir.

Beliau yang mengambil alih tugas daripada pengendali sebelum ini, Irfan Bakti Abu Salim yang meletak jawatan secara mengejut pada Mei lalu turut mengingatkan pemainnya tidak mengambil mudah pertemuan itu biarpun berdepan dengan skuad Liga Perdana.

“Usah ambil mudah dan berasa selesa bertemu skuad itu walaupun kita mahu lakar kemenangan. Ini kerana kita tidak tahu kekuatan sebenar mereka di atas padang kerana kita tidak pernah bertemu musim ini, lagipun kekuatan mereka terletak pada posisi penyerang dan sayap.

“Kita juga perlu berwaspada dengan taktikal skuad itu walaupun kita sudah mencatat dua kemenangan berbanding lawan yang tewas dua perlawanan terdahulu, apa yang pasti mereka akan bermain bermati-matian untuk menghidupkan kembali peluang layak ke suku akhir.

“Namun saya berkeyakinan pemain mampu memperagakan aksi terbaik dan tidak cepat putus asa sebagaimana ketika menumpaskan Kedah pada perlawanan kedua biarpun beraksi dengan 10 pemain sepanjang babak kedua,” katanya.

TFC yang diundi dalam Kumpulan A bersama juara Piala FA musim ini Kedah, PKNS FC selain Negeri Sembilan kini memimpin kumpulan selepas mengumpul enam mata hasil dua kemenangan menumpaskan PKNS 3-1 dan Kedah 2-0.

Sementara itu, Negeri Sembilan (NS) belum menekan butang panik biarpun setakat ini belum meraih sebarang mata selepas tewas dalam dua perlawanan terdahulu dalam saingan Kumpulan A Piala Malaysia iaitu menentang Kedah dan PKNS FC, di tempat sendiri.

Kapten pasukan, Norhafiz Zamani Misbah berkata, dia dan rakan sepasukan bertekad untuk bangkit memburu kemenangan pada pertembungan dengan TFC.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Ogos 2019 @ 5:50 AM