Ketua Jurulatih Terengganu FC, Tomislav Steinbruckner pada aksi Perlawanan Piala FA di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak. NSTP/GHAZALI KORI
Ketua Jurulatih Terengganu FC, Tomislav Steinbruckner pada aksi Perlawanan Piala FA di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak. NSTP/GHAZALI KORI
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Sekali pun berjaya melangkah ke suku akhir saingan Piala FA selepas menumpaskan Perak FC, jurulatih Terengganu FC (TFC), Tomislav Steinbruckner berang dengan prestasi anak buahnya yang dilihat gagal memperagakan keupayaan sebenar.

Malah bekas Pengarah Teknikal Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd itu juga akui gagal menyembunyikan perasaan marahnya apabila melihat ada beberapa pemainnya seakan-akan berjoging ketika perlawanan itu.

Lebih menaikkan kemarahan jurulatih yang lebih mesra dipanggil 'Tommy' itu apabila anak buahnya gagal menyempurnakan peluang terhidang ketika pasukan lawan bermain dengan sepuluh pemain, sebaliknya TFC ditekan di segenap penjuru sehingga minit terakhir perlawanan.

"Sebelum perlawanan, saya sudah menjangkakan permainan yang agak sukar kerana lawan pastinya hadir dengan corak permainan berbeza terutama selepas skuad itu tumpas 3-1 kepada kami pada aksi pertama Liga Super Mei lalu.

"Jadi seharusnya pemain kami perlu bekerja lebih keras untuk menamatkan saingan lebih awal terutama selepas seorang pemain lawan diperintahkan keluar padang oleh pengadil kerana menerima kad merah pada minit ke-70.

"Selepas itu kami mencipta beberapa peluang untuk menjaringkan gol ketiga pada 10 minit terakhir, namun gagal disudahkan dengan jaringan, pada masa yang sama saya juga agak marah kerana ada tujuh hingga lapan pemain bagaikan berjoging, mereka sepatutnya perlu lebih profesional.

"Walaupun kita beraksi dengan sebelas pemain berbanding lawan sepuluh pemain, saya begitu bimbang dengan serangan balas pasukan lawan yang mungkin boleh menghasilkan jaringan kerana mereka begitu ghairah mengasak sehingga minit terakhir perlawanan.

"Namun mujur kemenangan berpihak kepada kami biarpun pada beberapa ketika pemain tidak beraksi dengan baik iaitu bawah keupayaan sebenar, apa-apapun terima kasih kepada pemain dan juga peminat yang hadir memberikan sokongan padu," ujar Tommy selepas tamat perlawanan.

Pada perlawanan yang memihak kepada TFC dengan kemenangan 2-1, skuad tuan rumah terlebih dahulu ketinggalan hasil jaringan pemain import The Bos Gaurus, Luiz Henrique pada minit keenam sebelum sepakan penalti Safawi Rasid pada minit ke-35 berjaya menyamakan kedudukan 1-1.

Pemain tengah kelahiran Croatia, Marin Pilj muncul wira TFC apabila rembatan deras dari luar kotak penalti pada minit ke-42 memastikan wajah senyuman terukir selepas skuad itu berjaya melangkah ke suku akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Jun 2024 @ 2:40 PM