JULIO Cesar Chavez
JULIO Cesar Chavez
Reuters

LEGENDA tinju Mexico Julio Cesar Chavez berkata hari ini beliau disamun oleh perompak bersenjata di Mexico City dan mengecam kekejaman menjadi-jadi yang baru-baru ini menyelubungi ibu negara berkenaan.

“Saya menjadi mangsa rompakan, dengan pistol di kepala, jam tangan dan rantai diragut. Nyawa anda boleh melayang bila-bila masa,” kata Chavez, 57 di Twitter.

“Rasa tidak selamat di Mexico City sudah cukup untuk membuat anda menangis.”

Chavez tidak menerangkan secara terperinci insiden itu, selain menyatakan pengiringnya juga turut dirompak.

Pejabat peguam negara Mexico City menerusi Twitter meminta Chavez menghubungi pihak berkuasa berhubung insiden itu.

Mexico ketika ini mencatatkan peningkatan rekod kes pembunuhan yang mejadikan ibu negara itu yang sebelum ini dianggap selamat, semakin terdedah terhadap jenayah kekerasan.

Masalah keselamatan menjadi tumpuan minggu ini apabila dua pelancong ditembak di pusat beli belah di Mexico City dalam pergaduhan membabitkan kumpulan gangster.

Chavez, juara dunia dalam tiga kategori berat badan berbeza ketika zaman kegemilangannya dianggap sebagai peninju terbaik dalam sukan itu.

Beliau dianggap sebagai salah seorang peninju Mexico terbaik sepanjang zaman.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Julai 2019 @ 11:10 AM