MAYWEATHER (kiri) dan Pacquiao.
MAYWEATHER (kiri) dan Pacquiao.

Menjelang pertarungan di antara Floyd Mayweather dan Manny Pacquiao bakal berlangsung tidak lama lagi, penantian mencapai tahap di luar kawalan. Ini adalah di antara 10 pertarungan paling dinantikan pada zaman masing-masing dan impak­nya terhadap dunia tinju.

4 Julai 1910: Jack Johnson mln James J Jeffries

Kebanyakan rakyat Amerika Syarikat berkulit putih bencikan Johnson, bukan kerana dia juara heavyweight kulit hitam pertama. Apa yang paling dibenci mereka, dia menamatkan mitos pe­nguasaan peninju berkulit putih. Jefferies yang ketika itu bersara dan tidak bertinju sejak 1904 pada mulanya enggan tetapi mengubah fikiran apabila ditawarkan hadiah kemenangan AS$100,000 (RM354,405).

Jeffries bagaimanapun gagal memberi tenta­ngan. Penonton yang kebanyakannya berkulit putih menyaksikan dengan ketakutan apabila Jefferies berlumuran darah, tumbang tiga kali pada pusingan ke-15 dan perlawanan dihentikan.

Masyarakat kulit putih gagal menerimanya hingga tercetus pergaduhan antara kaum di New York, Philadelphia, Baltimore, St. Louis, New Orleans, Houston dan Washington hingga mengorbankan nyawa.

22 Jun 1938: Joe Louis mln Max Schmeling

Kebangkitan Louis seiring dengan kebangkitan Nazi Jerman, dan secara kebetulan peninju yang menewaskan Louis berbangsa Jerman. Perlawanan kedua Louis dengan Schmeling bukan hanya membabitkan tinju atau dendam. Ia bagaikan Uncle Sam menentang Hitler.

Pertarungan di Stadium Yankee, menyaksikan Louis melakukan tumbukan terhebat pernah disaksikan di gelanggang tinju, apabila menjatuhkan Schmeling tiga kali sebelum perlawanan dihentikan selepas pertarungan 2 minit empat saat.

8 Mac 1971: Joe Frazier mln Muhammad Ali

Kisahnya bagaikan dari tulisan Shakespeare. Seorang raja yang terasing kembali untuk mengambil kembali mahkotakan dan terbabit dengan pertarungan dengan peninju meningkat naik. Ditambah pula dengan unsur politik dan kegemilangan era 70-an, pertarungan di antara Frazier-Ali boleh dianggap menakjubkan dalam dunia tinju.

Seperti juga Louis-Schmeling, ia mempunyai implikasi sosiopolitik yang serius yang membayangi pertarungan hebat itu. Perang Vietnam memecahbelahkan negara itu, dan dalam kekalutan budaya ketika itu ia menjadi penunjuk siapa yang me­nyokong perang dan sebaliknya.

Pertarungan berlangsung hebat dan pada akhirnya tumbukan ‘hook’ tangan kiri Frazier menjatuhkan Ali pada pusingan ke-15 menjadi penyudahnya. Kedua-duanya menikmati kegemilangan dan kedua-duanya berakhir di hospital.

25 September 1962: Sonny Liston mln Floyd Patterson

Satu-satunya biografi mengenai Liston ketika dia masih hidup adalah “The Champion Nobody Wanted” oleh AS Young. Jika ditulis beberapa tahun sebelumnnya, “The Contender Nobody Wanted” mungkin tajuk paling tepat. Pada ketika itu, hanya penyangak yang mahukan Liston tetapi ia tidak tepat.

Peminat tinju mahukannya, atau lebih tepat lagi cuba menentang juara, Floyd Patterson. Liston adalah pencabar heavyweight No 1 selama dua tahun dan peninju heavyweight terbaik untuk jangka masa lebih lama.

Pengurus Patterson, Cus D’Amato, tahu anak buahnya tidak boleh menang dan menggunakan pembabitan Liston dengan kumpulan terbabit untuk mengelak perlawanan itu tetapi Patterson menolaknya. Ia berlangsung dalam tempoh dua minit enam saat selepas Liston melepaskan tumbukan hook dengan tangan kirinya.

6 April 1987: Ray Leonard mln Marvin Hagler

Sugar Ray adalah golo­ngan kehormat dalam tinju, datang dan pergi sesuka hatinya pada penghujung kariernya manakala Hagler, biarpun mempunyai kemahiran bertinju yang hebat dan kekal sebagai juara middleweight, meraih penghormatan dengan kemampuannya bertahan untuk jangka panjang.

Wujud kebimbangan terhadap kesihatan Leonard apabila dia memutuskan untuk kembali selepas dua kali pembedahan mata dan berehat selama tiga tahun untuk menentang peninju sehebat Hagler. Ada yang mempersoalkan adakah dia masih siuman dan yang lain menganggap dia terlalu ego.

Pertarungan yang baik dan mempunyai skil yang tinggi tetapi bukan dianggap hebat. Keputusan yang memihak Ray masih didebatkan hingga kini.

10 September 1993: Pernell Whitaker mln Julio Cesar Chavez

Kedua-duanya diang­gap peninju terbaik dalam rating ‘pound-for-pound’ apatah lagi mereka mempunyai berat yang sama, sesuatu yang jarang berlaku menjadikan situasi itu lebih menarik. Permintaan untuk pertarungan itu meniangkat hinggakan ia menjadi pertarungan terbesar yang patut diadakan di luar divisyen heavyweight.

Penyokong di Alamodome, San Antonio terdiri daripada rakyat Mexico dan Mexico-Amerika tetapi ada di antara mereka mengejek apabila keputusan diberikan.Hakim Jack Woodruff memberikan mata 115-113 yang memihak kepada Whitaker tetapi ia satu pilihan yang tepat. Keputusan 115-115 oleh Mickey Vann dan Franz Marti tidak boleh diterima.

19 Ogos 1995: Mike Tyson mln Peter McNeeley

Hubungan Tyson dengan jutaan peminatnya masih utuh. Sewaktu dia dipenjara kerana serangan seksual, orang mula menghitung hari bila dia akan dibebaskan dan sebaik keluar penjara, keterujaan peminatnya terus memuncak.

Don King dan Showtime mengandaikan selepas menunggu selama tiga tahun untuk Tyson kembali, peminat tidak peduli dengan siapa dia bertarung.

McNeeley (anak lelaki bekas peninju heavyweight Tom McNeeley) tumbang dalam tempoh hanya seminit 29 saat. Bayaran terlalu mahal untuk aksi yang sederhana. Pertarungan itu meraih kutipan AS$96 juta (RM340.6 juta), membabitkan rekod pembelian siaran berbayar yang mencapai AS$1.52 juta (RM5.3 juta).

8 Jun 2002: Lennox Lewis mln Mike Tyson

Disebalik kemerosotan prestasi, masih ramai peminat setianya menganggap Tyson masih peninju terhebat dunia dan ada yang me­nganggap dia sebagai juara. Ia bagaikan satu fantasi yang membantu menjadikan pertarungan itu menarik perhatian ramai.

Selepas perbincangan beberapa bulan, akhirnya Showtime dan HBO bersetuju bekerjasama untuk pertarungan dinantikan ramai, di antara Iron Mike dan juara bertahan heavyweight, Lewis.

Bermula dengan baik, Tyson akhirnya keletihan dan ketika itu Lewis me­ngambil alih. Dua menjatuhkan Tyson dua kali di pusingan kelapan dan Tyson bergelut untuk bangkit ketika kiraan mencapai angka 10.

5 Mei 2007: Floyd Mayweather mln Oscar De La Hoya

De La Hoya di zaman kejatuhan dengan hanya satu kemenangan selepas tewas kepada Bernard Hopkins, namun masih disanjung. Mayweather pula di puncak prestasi tetapi perlukan kemenangan ke atas Oscar untuk melonjakkan nilainya bagi siaran berbayar.

Pertarungan berlangsung selama enam pusingan dan ketika De La Hoya tidak mampu meneruskan dan Mayweather menarik diri. Keputusan kiraan mata memihak Mayweather sepatutnya sebulat suara tetapi ia bukan pertarungan yang bagus.

2 Mei 2015: Floyd Mayweather mln Manny Pacquiao

Satu aspek dalam pertarungan yang tidak dibincangkan sebelum ini adalah impak hebat media sosial. Perang mulut di antara peminat kedua-dua peninju menyemarakkan ‘permusuhan’ sejak bertahun lamanya. Permusuhan itu dihidupkan kembali setiap kali salah seorang daripada mereka bertarung, ataupun sekadar kata-kata kosong dan tuduhan liar. Kebenaran akan terserlah Sabtu ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 April 2015 @ 10:55 AM