AGUERO jaring dua gol untuk Argentina.
AGUERO jaring dua gol untuk Argentina.
Reuters

Texas: Lionel Messi dan Sergio Aguero masing-masing menjaringkan dua gol ketika Argentina membelasah Bolivia 7-0, manakala Mexico terikat 3-3 dengan Trinidad & Tobago dalam perlawanan persahabatan di Amerika Syarikat, semalam.

Dibarisi hampir keseluruhannya skuad kedua, kapten pasukan, Messi muncul pada 20 minit terakhir yang menyaksikan Argentina mengumpul 12 jaringan keseluruhan dalam dua perlawanan persahabatan menentang Bolivia tahun ini.

Ezequiel Lavezzi turut menjaringkan dua gol manakala Angel Correa meledak gol ketujuh Argentina dalam penampilan sulungnya berdepan Bolivia yang dibimbing jurulatih baru, Julio Cesar Baldivieso. Jurulatih berkenaan sebelum ini dikatakan mengalami kesuntukan masa untuk mempersiapkan pasukan untuk perlawanan di Houston itu.

Pertahanan veteran Bolivia Ronald Raldes meminjamkan AS$21,000 (RM90,520) miliknya untuk menampung perbelanjaan penerbangan skuad itu ke Amerika Syarikat kerana Persekutuan Bolasepak Bolivia (FBF) berdepan masalah apabila pegawai utamanya berdepan tuduhan rasuah.

Presiden FBF Carlos Chavez menandatangani persetujuan untuk perlawanan itu diadakan sebelum beliau dipenjarakan dan masih menanti perbicaraan sejak ditahan Julai lalu.

Pertubuhan itu kemudian memecatnya dan memilih pegawai baru sebelum melantik Baldivieso minggu lalu.

“Saya fikir keputusan itu berbaloi jika diambil kira betapa serius dan bersemangatnya pemain. Aksi ditampilkan pendatang baru dan mereka yang kurang bermain dalam pasukan agak hebat,” kata jurulatih Argentina, Gerardo Martino.

“Perlawanan berkenaan berguna biarpun lawan menghadapi masalah membentuk pasukan tetapi sekurang-kurangnya kami dapat melaksanakan apa yang dirancang.”

Argentina yang sedang membuat persiapan untuk kelayakan Piala Dunia 2018, akan kembali beraksi di Dallas Rabu ini, menentang Mexico yang terikat 3-3 dengan Trinidad & Tobago in Salt Lake City.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 September 2015 @ 5:05 AM