SHAMIRZA berpotensi diserapkan ke dalam skuad TFC.
SHAMIRZA berpotensi diserapkan ke dalam skuad TFC.
Malik Muhamad

PENGENDALI Terengganu FC II (TFC II), Tengku Hazman Raja Hassan berpandangan sekurang-kurangnya tiga pemain dalam skuadnya berpotensi dinaikkan 'pangkat’ dalam skuad 'abang’ Terengganu FC (TFC).

Bagaimanapun, keputusan itu terserah kepada pihak pengurusan TFC kerana beliau sedia melepaskan pemain dimahukan skuad itu pada bila-bila masa.

Beliau berkata, tiga pemain berkenaan yang menunjukkan aksi konsisten termasuk Hasan Basri Ahmad Ridzuan, Hafizal Mohamad dan penjaga gol Shamirza Yusoff boleh diserapkan dalam pasukan TFC.

“Jika cakap pemain saya boleh bermain saya rasa keterlaluan tetapi kami sebagai pasukan 'feeder’ kepada TFC, kami sedia melepaskan mana-mana pemain yang TFC mahu.

“Bukan saya mahu cadangkan mereka tetapi pada pandangan saya tiga pemain itu boleh diberi peluang beraksi dalam TFC, lagipun mereka pernah menyarung jersi T-Team,” kata Tengku Hazman.

Bermula musim lalu, skuad TFC II yang sebelum ini menggunakan nama T-Team diberi nafas baru selepas penjenamaan semula pasukan bola sepak negeri sekali gus berperanan sebagai pelapis skuad utama.

Musim ini empat pemain sudah dinaikkan pangkat iaitu pemain tengah iaitu Sharin Sapein dan Haidhir Suhaini, pemain pertahanan, Muhamad Mohd Fauzi dan penyerang meningkat naik, Izzan Syahmi Mustafa.

Berdasarkan kedudukan terkini skuad The Turtles itu kian meningkat prestasi selepas berada di tangga keempat Liga Perdana dengan mengutip 22 mata ketinggalan empat mata di belakang pendahulu baru, UiTM FC.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Mei 2019 @ 5:25 PM