ODION Ighalo (kiri) meraikan jaringannya ketika bertemu Tunisia. -Foto Reuters
ODION Ighalo (kiri) meraikan jaringannya ketika bertemu Tunisia. -Foto Reuters
Reuters

JARINGAN awal Odion Ighalo memberikan kemenangan Nigeria 1-0 ke atas Tunisia dalam perlawanan penentuan tempat ketiga Piala Negara Afrika awal pagi tadi.

Penyerang berusia 30 tahun itu yang juga penjaring terbanyak kejohanan dengan lima gol dengan mudah menolak bola ke gawang lawan susulan kekalutan bahagian pertahanan Tunisia di Stadium Al Salam.

Hantaran Jamilu Collins dari bahagian kiri gagal ditangkap kemas penjaga gol Moez Ben Cherifa yang melalui kaki pertahanan Yassine Meriah, yang cuba menghalang bola melepasi garisan gol sebelum Ighalo menyepaknya untuk memberikan Nigeria gol seawal minit ketiga.

Kesilapan itu nyata membawa padah kepada Tunisia yang tewas aksi separuh akhir pada masa tambahan ketika menentang Senegal, juga dengan situasi hampir sama.

Ben Cherifa cuba menebus kesilapannya dengan menyelamatkan beberapa percubaan hebat pada separuh masa kedua, pertamanya menghalang rembatan kaki kiri Samuel Chukwueze selepas sejam perlawanan sebelum menyelamatkan dua percubaan daripada pemain gantian Samuel Kalu pada minit terakhir.

Nigeria, yang mendominasi perlawanan, menang pingat gangsa dalam lapan edisi Piala Negara Afrika.

Algeria akan menentang Senegal pada final Piala Negara Afrika awal pagi esok.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Julai 2019 @ 9:04 AM