SELAIN Guinea, Put turut melatih Gambia, Burkina Faso, Jordan dan Kenya di peringkat antarabangsa. — FOTO Getty Images
SELAIN Guinea, Put turut melatih Gambia, Burkina Faso, Jordan dan Kenya di peringkat antarabangsa. — FOTO Getty Images
Reuters

DUA lagi jurulatih hilang jawatan masing-masing manakala seorang lagi dijangka turut menerima nasib sama dalam tempoh terdekat selepas skuad kendalian mereka gagal menyerlah pada Piala Negara Afrika.

Paul Put dipecat Guinea semalam walaupun anak buahnya layak ke kelompok 16 terakhir, manakala kontrak Ricardo Mannetti tidak disambung selepas Namibia tewas semua tiga aksi peringkat kumpulan.

Masa depan jurulatih Maghribi, Herve Renard juga tidak dapat dipastikan apatah lagi selepas media tempatan semakin kerap memainkan berita mengenai keupayaannya.

“Atas permintaan sendiri, saya sudah bertemu (Fouzi) Lekjaa, presiden Persekutuan Bolasepak Diraja Maghribi,” kata Renard.

KONTRAK Mannetti tidak disambung oleh Namibia. — FOTO Agensi
KONTRAK Mannetti tidak disambung oleh Namibia. — FOTO Agensi

“Kami membincangkan soal pertandingan. Kami juga membincangkan soal masa depan pasukan. Saya memberikan pendapat mengenainya. Kami setuju untuk tidak mengumumkan perbincangan kami kepada sesiapa buat masa ini.”

Maghribi antara pasukan pilihan pada kejohanan kali ini tetapi kekalahan mereka di tangan Benin amat mengejutkan.

Renard, 50, pernah memenangi Piala Negara Afrika ketika membimbing Zambia pada 2012 dan tiga tahun kemudian, beliau mengemudi Ivory Coast melakar kegemilangan.

Sementara itu, Put pula bertelagah dengan kapten Ibrahima Traore mengenai taktik yang beliau amalkan dan pemecatannya diumumkan Persekutuan Bolasepak Guinea beberapa hari lalu.

Mannetti, 44, pula meninggalkan pasukan selepas lima tahun bersama Namibia dan tempatnya digantikan dengan Bobby Samaria, semalam.

Jurulatih Mesir, Tanzania dan Uganda turut melepaskan jawatan masing-masing apabila dilabel gagal pada saingan kali ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Julai 2019 @ 10:57 PM