ZIYECH (kiri) ditenangkan rakannya Boufal selepas gagal menyempurnakan sepakan penalti pada masa kecederaan di Stadium Al Salam, Kaherah, awal pagi tadi. — FOTO EPA
ZIYECH (kiri) ditenangkan rakannya Boufal selepas gagal menyempurnakan sepakan penalti pada masa kecederaan di Stadium Al Salam, Kaherah, awal pagi tadi. — FOTO EPA
AFP

HAKIM Ziyech terlepas penalti masa kecederaan sekali gus membantu Benin yang beraksi 10 pemain mengejutkan pencabar kejuaraan Piala Negara Afrika, Maghribi menerusi penentuan penalti untuk layak ke suku akhir selepas seri 1-1 di Kaherah, awal pagi tadi.

Moise Adilehou meledak pada awal babak kedua untuk meletakkan Benin dalam laluan melakar kejutan namun Youssef En-Nesyri menyamakan kedudukan buat Maghribi sebelum bintang Ajax, Ziyech mensia-siakan peluang apabila percubaannya terkena palang menerusi penalti pada minit ke-96.

Benin terpaksa beraksi hampir keseluruhan masa tambahan dengan kekurangan seorang pemain selepas Khaled Adenon dilayangkan kad kuning kedua, namun mereka menang menerusi penentuan penalti 4-1 susulan kegagalan Sofiane Boufal dan En-Nesyri untuk berdepan Senegal pada suku akhir pertengahan minggu depan.

“Ia bukan masanya yang sesuai untuk menyatakan apa-apa,” kata bos Maghribi, Herve Renard, selepas kemungkinan aksi terakhirnya mengendalikan pasukan itu.

RENARD (empat kiri) bertelagah dengan pemain Benin. — FOTO Reuters
RENARD (empat kiri) bertelagah dengan pemain Benin. — FOTO Reuters

“Satu-satunya perkara yang ingin saya katakan terima kasih tidak terhingga kepada semua penyokong yang hadir ke Mesir menyokong kami.

“Saya berasa agak malu di depan mereka terutama kepada semua rakyat yang menyokong kami sejak lebih tiga tahun lalu.”

Maghribi berdepan masalah menjelang aksi di Stadium Al Salam apabila kapten den tonggak pertahanan Medhi Benatia diketepikan kerana cedera manakala Benin tanpa penyerang Steve Mounie yang digantung perlawanan.

Younes Belhanda merembat liar buat Maghribi sejurus selepas rehat namun Benin mencatat kejutan apabila Adilehou melepasi kawalan pertahanan lawan untuk menyempurnakan satu sepakan sudut pada minit ke-54, gol pertama Squirrels sejak perlawanan pertama di Mesir.

SEIBOU meraikan kejayaannya meledak penalti kemenangan Benin yang menyingkirkan Maghribi. — FOTO EPA
SEIBOU meraikan kejayaannya meledak penalti kemenangan Benin yang menyingkirkan Maghribi. — FOTO EPA

Kesilapan Jordan Adeoti membolehkan Maghribi menyamakan kedudukan pada minit ke-75, apabila Mbark Boussoufa merampas bola di kakinya sebelum melintangkan kepada En-Nesyri untuk merembat melepasi penjaga gol Saturnin Allagbe.

Bagaimanapun, ketika penentuan penalti, Boufal merembat tinggi sepakan kedua Maghribi sebelum Allagbe menampan percubaan En-Nesyri ke palang dan Mama Seibou memastikan kemaraan Benin ke suku akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Julai 2019 @ 8:21 AM