PEMAIN Maghribi meraikan kemenangan ke atas Zambia. FOTO AFP
PEMAIN Maghribi meraikan kemenangan ke atas Zambia. FOTO AFP
AFP

Abidjan: Kemenangan 1-0 Maghribi ke atas Zambia pada Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) memberi kesan yang membawa Ivory Coast mara ke pusingan 16 terakhir, sehari selepas tuan rumah kejohanan itu memecat jurulatih mereka.

Hari terakhir aksi peringkat kumpulan juga menyaksikan Namibia mendapat tempat di peringkat kalah mati AFCON buat kali pertama, manakala Afrika Selatan turut mara dan pasukan kuasa besar benua itu bertindak balas terhadap penyingkiran mengejut dengan berpisah dengan pengurus mereka.

Maghribi yang mendapat tumpuan ramai menewaskan Zambia di San-Pedro untuk menduduki tempat teratas Kumpulan F dan menyingkirkan 'Chipolopolo', dibimbing oleh Avram Grant.

Hakim Ziyech menjaringkan gol tunggal permainan pada lewat separuh masa pertama dan 'Atlas Lions' akan kekal di San-Pedro untuk pertembungan peringkat 16 terakhir dengan Afrika Selatan Selasa depan.

Mereka akan beraksi tanpa jurulatih, Walid Regragui untuk perlawanan itu di mana beliau akan melengkapkan penggantungan dua perlawanan yang dijatuhkan berikutan insiden pada penghujung keputusan seri 1-1 Maghribi dengan Republik Demokratik Congo hujung minggu lalu.

Keputusan Maghribi disambut di seluruh negara tuan rumah kerana ia membolehkan Ivory Coast untuk mara ke pusingan seterusnya sebagai salah satu daripada empat pasukan terbaik tempat ketiga.

'The Elephants' berdepan tersingkir dari peringkat kumpulan yang memalukan selepas kekalahan 0-4 kepada Equatorial Guinea pada hari Isnin.

Mereka adalah tuan rumah AFCON pertama dalam tempoh 40 tahun yang tewas dua perlawanan kumpulan, tetapi kemenangan 2-0 ke atas Guinea Bissau dalam perlawanan pembukaan akhirnya terbukti mencukupi.

Bagaimanapun, mereka kini berdepan saingan sukar menentang penyandang juara, Senegal di ibu kota, Yamoussoukro Isnin depan, dan mereka akan melakukannya dengan jurulatih baharu.

Jurulatih veteran Perancis, Jean Louis Gasset dipecat oleh Persekutuan Bolasepak Ivory Coast (FIF) pada hari Rabu, dengan penolong, Emerse Fae bertindak menggantikannya.

Fae bermain bersama Didier Drogba dalam pasukan Ivory Coast yang tewas di final AFCON 2006 kepada Mesir.

"Kami gembira. Keadaan menjadi sukar sejak hari Isnin. Kami menahan nafas," kata Fae kepada Canal Plus Afrique selepas kelayakan mereka disahkan.

"Kami kecewa dengan keputusan kami sendiri dan kami juga takut kami mungkin tidak mara di AFCON di laman sendiri.

"Ini satu kelegaan. Ia meringankan beban kami tetapi kini kami perlu segera mengalihkan fokus kami kepada perlawanan menentang Senegal.

"Kami berhutang dengan penduduk Ivory Coast dan kami perlu menunjukkan kepada mereka bahawa keputusan menentang Equatorial Guinea adalah satu kemalangan."

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 January 2024 @ 10:34 AM