ZIYECH (kanan) melakukan percubaan ke arah gol Namibia sambil cuba dihalang Denzil Haoseb di Stadium Al Salam, Kaherah, awal pagi tadi. — FOTO EPA
ZIYECH (kanan) melakukan percubaan ke arah gol Namibia sambil cuba dihalang Denzil Haoseb di Stadium Al Salam, Kaherah, awal pagi tadi. — FOTO EPA
AFP

PEMAIN Namibia, Itamunua Keimuine menanduk masuk sepakan percuma Hakim Ziyech ke dalam gol sendiri pada minit ke-89 untuk menghadiahkan Maghribi kemenangan 1-0 pada aksi Kumpulan D Piala Negara Afrika di Kaherah, awal pagi tadi.

Ia satu keputusan kejam buat pasukan kerdil dari selatan Afrika itu, yang menepati nama julukan mereka Brave Warriors apabila berjaya mengekang kehebatan Atlas Lions.

Jurulatih Maghribi, Herve Renard jelas lega ketika wisel penamat ditiup selepas permulaan agak hambar pasukannya yang dianggap antara pilihan awal kejohanan.

Renard satu-satunya jurulatih yang menjuarai Piala Negara Afrika dengan dua negara, mengemudi Zambia dan Ivory Coast melakar kegemilangan antara 2012 dan 2015.

PEMAIN Maghribi, Khalid Boutaib (dua kiri), Ziyech (dua kanan) dan rakan sepasukannya meraikan gol sendiri Keimuine. — FOTO Reuters
PEMAIN Maghribi, Khalid Boutaib (dua kiri), Ziyech (dua kanan) dan rakan sepasukannya meraikan gol sendiri Keimuine. — FOTO Reuters

“Kami bergelut kerana Namibia bermain secara tersusun selain cuaca panas serta hakikat kami bermain perlawanan pertama,” kata Renard, pengendali dari Perancis.

“Perkara paling penting meraih tiga mata dan saya harap Namibia mampu mencetus masalah buat Ivory Coast dan Afrika Selatan.”

Jurulatih Namibia, Ricardo Mannetti berkata: “Saya terpaksa menenangkan pemain saya, terutama pemain yang menjaringkan gol sendiri.

“Saya amat bangga dengan anak buah saya dengan cara mereka mengamalkan taktik yang diterapkan. Ada kalanya perancangan permainan mungkin tidak menarik untuk ditonton, tapi saya berdepan seorang jurulatih yang amat berpengalaman, pasukan yang terlalu berpengalaman.”

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Jun 2019 @ 9:40 AM