PEMAIN TFC,  Hafizal Mohamad (tengah) diasak Sumareh di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah.  - FOTO Ghazali Kori
PEMAIN TFC, Hafizal Mohamad (tengah) diasak Sumareh di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah. - FOTO Ghazali Kori
Asrol Awang

PEMAIN naturalisasi, Mohamadou Sumareh percaya skuad Pahang menamatkan saingan Liga Super sebagai naib juara musim ini.

Dengan berbaki dua perlawanan dan kelebihan beraksi di laman sendiri, skuad kendalian Dollah Salleh itu dijangka tidak berdepan masalah untuk mengutip enam mata.

Sumareh mahu rakan sepasukan tidak membenarkan FELDA United FC dan Melaka United membawa pulang mata dari Stadium Darul Makmur dalam aksi 17 dan 20 Julai ini.

"Kami akan pastikan kemenangan buat skuad Tok Gajah sebelum fokus menghadapi kempen Piala Malaysia selepas ini," kata pemain berumur 25 tahun itu.

Mengulas tugasan selaku penyerang skuad Tok Gajah ketika seri 1-1 ketika berdepan Terengganu FC (TC) kelmarin, Sumareh gembira kerana jaringannya pada babak kedua membantu pasukan mengutip satu mata.

Pemain kelahiran Gambia itu berkata, jaringan itu mengelak skuad Tok Gajah daripada berputih mata selepas ketinggalan 0-1 pada separuh masa pertama.

"Kami bertandang ke tempat lawan untuk mencatat kemenangan tetapi TFC memberi tentangan sengit dan akur sekadar mengutip satu mata," katanya.

Pada perlawanan itu, Pahang menyandarkan harapan kepada Sumareh mengetuai jentera serangan selepas penyerang import, Dickson Nwakaeme belum pulih daripada kecederaan. Ternyata, percaturan itu menjadi apabila Sumareh menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-50 selepas ketinggalan 0-1 hasil jaringan Ahmad Syamim Yahya minit ke-42.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Julai 2019 @ 12:46 PM