Sumareh ketika menjalani latihan bersama Pahang. FOTO File NSTP
Sumareh ketika menjalani latihan bersama Pahang. FOTO File NSTP
BERNAMA

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) hanya menanti keputusan daripada badan induk bola sepak dunia, sebelum mengambil langkah seterusnya dalam menyelesaikan kemelut antara Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) dan bekas pemain pasukan itu, Mohamadou Sumareh.

Setiausaha Agung FAM Stuart Ramalingam berkata sebarang tindakan mahupun hukuman di peringkat domestik hanya akan dibuat selepas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) mengeluarkan keputusan berhubung laporan Sumareh terhadap PBNP, sebelum ini.

Seperti kes membabitkan perpindahan kontroversi bekas pemain Kedah, Muhammad Akhyar Abdul Rashid ke Johor Darul Ta'zim (JDT) pada 2018, Stuart menegaskan badan induk bola sepak negara itu tidak mengambil pendekatan berdiam diri dalam isu tersebut.

"FAM dalam kedudukan bersedia menunggu keputusan yang bakal dikeluarkan FIFA sama ada mereka mendengar laporan Sumareh itu ataupun tidak, atau mereka tolak semula laporan itu kepada FAM. Kalau kes itu sudah dalam proses FIFA kita hanya boleh tunggu sampai ia berakhir.

"Soal FIFA nak ambil atau tidak kes itu bergantung sebab kebiasaannya hanya pemain asing boleh bawa kes ke FIFA dan bila melibatkan pemain tempatan prosesnya di dalam negara. Dalam konteks Sumareh, beliau didaftarkan sebagai pemain tempatan," katanya.

Sumareh, 25, sah memperoleh kewarganegaraan Malaysia yang membolehkan beliau menyarung jersi skuad Harimau Malaya melalui proses naturalisasi pada 2018.

Mengulas lanjut, Stuart bagaimanapun tidak menolak kemungkinan FIFA akan tetap melihat laporan berkaitan masalah tunggakan gaji yang dibuat pemain kelahiran Gambia itu terhadap bekas majikannya, PBNP.

"FAM mesti tunggu sehingga FIFA habiskan proses itu baru FAM boleh ambil alih, itu pun kalau dapat kebenaran mereka. Kalau tidak, mungkin FIFA klasifikasikan ia sebagai kes istimewa yang mereka ingin juga dengar," jelasnya.

Stuart berkata setakat ini, FAM tidak dimaklumkan mengenai bila keputusan sama ada FIFA menerima atau menolak pendengaran kes itu, akan dikeluarkan.

Sumareh melengkapkan perpindahan mengejut ke kelab Liga Thailand, Police Tero FC pada 7 Sept lalu, dalam tempoh dua minggu selepas jurulatih Pahang Dollah Salleh mendedahkan Sumareh tidak menjalani sesi latihan berpasukan selama sebulan, sejak awal Ogos lalu.

Sumareh yang mempunyai baki kontrak bersama Pahang sehingga 2022, turut tidak menghadiri beberapa aksi Liga Super membabitkan skuad Tok Gajah sebaik saingan Liga Malaysia bersambung pada 28 Ogos.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 September 2020 @ 6:28 PM