SUMAREH (kiri) akan tamat kontraknya bersama Pahang musim ini. FOTO FB Pahang FA
SUMAREH (kiri) akan tamat kontraknya bersama Pahang musim ini. FOTO FB Pahang FA
Firdaus Hashim


DESAS desus penghijrahan pemain sayap Pahang, Mohamadou Sumareh ke pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) pada musim depan bukan lagi rahsia di mata penyokong kedua-dua pasukan negeri berjiran itu.

Menurut sumber, kontrak Sumareh selama tiga musim bersama skuad Tok Gajah bakal berakhir pada penghujung musim ini dengan tonggak naturalisasi pertama Harimau Malaya itu akan memilih haluan berbeza.

Sumareh, 25, juga difahamkan sudah mengadakan perbincangan bersama pasukan baharu dan kemungkinan bakal mengikut jejak bekas rakan sepasukan Matthew Davies ke JDT.

"Benda ini (perpindahan ke JDT) dah ramai tahu sebab kontrak dia pun akan habis hujung tahun ini.

"Perpindahan Davies pada awal musim ini pun sebenarnya sudah dijangka kerana JDT sekarang sedang menstruktur semula pasukan selepas ramai pemain utamanya semakin dimamah usia.

"Jadi ia bukan berita baharu. Malah, tindakan pemilik JDT (Tunku Ismail Sultan Ibrahim) membalas komen Sumareh di laman sosial juga adalah isyarat seperti mana beliau juga pernah lalukan perkara sama ke atas Davies sebelum penghijrahannya ke skuad Harimau Selatan," katanya kepada Arena Metro.

Kelmarin, kecoh dilaman sosial tentang spekulasi perpindahan Sumareh apabila penyokong bola sepak tempatan melihat 'perbualan' antara Sumareh dan Tunku Ismail di laman Instagram pemain kelahiran Gambia itu.

Rata-rata penyokong menyifatkan 'gurau senda' itu sebagai isyarat dan petanda bahawa Sumareh atau lebih mesra dipanggil Keli Boy oleh rakan sepasukannya akan menyertai pasukan itu pada musim depan.

Sumareh yang mula menyertai Pahang pada 2017, dilihat berbalas komen dengan Tunku Ismail selepas dia memuatnaik jentera mewahnya Mercedes A-Class Hatchback baru-baru ini.

Gambar berkenaan menarik minat Tunku Ismail yang kemudiannya membalas 'haha' yang disertakan emoji 'penumbuk' dan emoji hati berwarna biru dan merah yang sememangnya lazim dengan warna skuad Harimau Selatan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Mei 2020 @ 11:58 PM