Skuad Elavarasan perlu tewaskan NS dan Pulau Pinang. FOTO NSTP
Skuad Elavarasan perlu tewaskan NS dan Pulau Pinang. FOTO NSTP
Nazri Abu Bakar


SELEPAS layak beraksi pada Piala Malaysia, PDRM konsisten memburu slot ke Liga Super 2020 walaupun berdepan cabaran getir pada baki dua perlawanan Liga Perdana musim ini.

Pengendali skuad, E Elavarasan, berkata kemenangan 3-1 menewaskan Kelantan di Stadium Hang Jebat, Melaka, semalam membuka ruang buat skuad berkenaan untuk mengisi dua tempat mara ke Liga Super musim depan.

Namun saingan berliku berikutan The Cops perlu menang dua perlawanan terakhir berdepan Negeri Sembilan (NS) dan Pulau Pinang yang dilihat memiliki prestasi memberangsangkan untuk menyekat kemaraan skuad bimbingannya.

Walaupun pasukannya di tangga kelima dan Terengganu FC II (keenam) berkongsi 27 mata, Negeri Sembilan tangga keempat (28 mata) namun peluang masih seimbang buat kesemua pasukan terbabit dengan keputusan dua perlawanan bakal menjadi penentu.

Sementara itu, UiTM FC berada di tangga ketiga (28 mata) di belakang Johor Darul Ta’zim II (JDT II) berbaki satu perlawanan diakui turut memiliki peluang namun semua akan muktamad selepas saingan liga berakhir .

"Justeru, apa diharapkan momentum kemenangan ke atas The Red Warriors menyuntik motivasi tinggi pemain untuk bertindak cemerlang pada aksi berdepan NS pada 13 Julai dan Pulau Pinang 20 Julai.

"Jika kami mampu mengumpul mata maksimum berkenaan sudah pasti The Cops layak ke Liga Super musim depan.

Malah ia sebaliknya berlaku jika kami tewas, berikutan itu misi kami hanya mahu kemenangan sahaja pada setiap perlawanan," katanya.

Elavarasan berkata, dia yakin dengan kemampuan anak buahnya menghadapi dua cabaran berkenaan dengan fokus bertemu NS sebelum memikirkan saingan Pulau Mutiara selepas itu.

Dalam perlawanan malam tadi jaringan PDRM dicipta menerusi pemain kelahiran Nigeria Uche Agba (m-51 dan m-90), Fakrul Aiman Sidid (m-56) sementara gol sagu hati pelawat menerusi menerusi Danial Haqim (m-86) yang menanduk masuk hantaran Azwan Aripin.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Julai 2019 @ 8:17 PM