Melaka: Polis Diraja Malaysia (PDRM) tetap melakukan persediaan rapi menjelang saingan menentang Pulau Pinang walaupun pasukan itu kini menghuni tangga kedua tercorot Liga Super.

Jurulatih PDRM Mohd Fauzi Pilus (gambar) berkata, saingan di Stadium Bandaraya Sabtu ini mampu mengecewakan The Cops jika anak buahnya lalai atau memandang tuan rumah sebagai pasukan yang lemah.

Fauzi berkata, perlawanan berdepan skuad Harimau Kumbang tetap sukar dan mencabar kerana lawan mahu menggunakan peluang itu bagi memperbaiki kedudukan mereka, sekali gus keluar dari zon penyingkiran ke Liga Perdana musim depan.

Menurutnya, PDRM perlu memenangi perlawanan itu bagi memastikan The Cops tidak berada dalam zon merah berikutan hanya mempunyai baki tiga perlawanan saja selepas ini termasuk bertemu Pulau Pinang.

“Semua perlu fokus dalam baki tiga perlawanan nanti, kami mahu kutip mata maksimum bagi memastikan The Cops terus kekal dalam Liga Super musim 2017.

“Walaupun berada di tangga kelapan liga kami hanya berbeza dua mata dengan Pulau Pinang, The Cops dalam bahaya jika tewas. Jadi semua pemain perlu bekerja keras untuk mengumpul tiga mata,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 September 2016 @ 12:41 PM