MD Dali.
MD Dali.
Syazwan Msar


LIGA Bolasepak Malaysia (MFL) mengesahkan khidmat pengadil asing pada perlawanan Akhir Piala FA 2019 tidak dapat direalisasikan atas faktor tertentu sekali gus memperlihatkan inisiatif berkenaan tidak dapat dilaksanakan dalam masa terdekat.

Ketua Pegawai Operasi MFL Mohd Shazli Shaik Mohd berkata, perbincangan bersama semua pihak sudah dilakukan sekali gus mengesahkan tiada pembabitan pengadil asing nanti.

Beliau berkata, Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tidak membincangkan perkara terbabit sekali gus pengadil tempatan diberikan tanggungjawab mengadili perlawanan terbabit.

“Saya sudah bertanya kepada wakil jawatankuasa Pengadil FAM dan mereka sahkan tiada pengadil asing mengadili perlawanan akhir itu.

“Mungkin ada usaha daripada mereka untuk membawa pengadil asing namun untuk perlawanan akhir Piala FA tiada,” katanya, dalam sidang media Perlawanan Akhir Piala FA 2019.

Sebelum itu, Arena Metro melaporkan bahawa Jawatankuasa Pengadil FAM menyatakan bahawa pengadil import bakal ‘mewarnai’ pentas akhir Piala FA 2019 sebagai tempoh percubaan awal untuk memantapkan lagi sistem pengadilan bola sepak tempatan.

Perkara itu disahkan pengerusinya Md Dali Wahid apabila menyatakan penggunaan pengadil asing itu adalah antara inisiatif awal untuk membawa masuk individu terbabit seperti yang dirancang sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Julai 2019 @ 9:48 PM