MD Dali Wahid menjelaskan jawatankuasa pengadil belum lagi memuktamadkan khidmat pengadil asing. FOTO Owee Ah Chun
MD Dali Wahid menjelaskan jawatankuasa pengadil belum lagi memuktamadkan khidmat pengadil asing. FOTO Owee Ah Chun
Syazwan Msar


KELIBAT pengadil import bakal mewarnai pentas akhir Piala FA 2019 sebagai tempoh percubaan awal untuk memantapkan lagi sistem pengadilan bola sepak tempatan.

Pengerusi Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Md Dali Wahid berkata, penggunaan pengadil asing itu adalah antara inisiatif awal untuk membawa masuk individu terbabit seperti yang dirancang sebelum ini.

Beliau berkata, setakat ini jawatankuasa pengadil belum lagi memuktamadkan pengadil asing yang akan dibawa mengadili perlawanan terbabit kerana masih lagi dalam perancangan pihaknya.

“Saya sudah berjumpa dengan beberapa pihak dan menyatakan jika mahu memperkasakan lagi mutu pengadilan perlu membawa masuk segera pengadil asing terutama perlawanan akhir Piala FA 2019 nanti.

“Kita tidak mahu lagi peminat bola sepak mempersoalkan kredibiliti. Sebab itu, perlu segera berbuat demikian terutama pada perlawanan penting dalam masa terdekat ini,” katanya ketika ditemui Arena Metro.

Sebelum ini, media melaporkan Liga Malaysia akan menggunakan khidmat pengadil ‘import’, malah calon yang bakal dibawa bukan calang-calang sebaliknya pernah mengendalikan perlawanan antarabangsa seperti Piala Dunia dan Kejohanan Eropah.

Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Kevin Ramalingam berkata, pengadil daripada Liga Perdana Inggeris dan Liga Jepun itu diharap menjadi penyelesaian kepada isu pengadilan lemah yang ditimbulkan selama ini, dan mereka bukan sahaja bertindak sebagai pengajar, malah mengadili perlawanan.

Selain itu, Md Dali berkata, kehadiran pengadil asing bukanlah menutup peluang kepada individu tempatan cuma ia hanyalah usaha memantapkan lagi sistem pengadilan selain berkongsi ilmu dengan mereka yang sedia maklum mempunyai kepakaran dalam bidang berkenaan.

“Mutu pengadilan perlu diperbaiki menerusi perkongsian ilmu dengan pengadil asing yang sudah biasa mengadili perlawanan berprestij dan penting di liga luar negara,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Jun 2019 @ 5:30 AM