Syazwan Msar


PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) mengumumkan pengadil dari Jepun, Takuto Okabe akan mengadili perlawanan akhir Piala FA antara Perak dan Kedah di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Sabtu ini.

Okabe, 38, yang juga antara pengadil utama dan berpengalaman di Liga Jepun akan dibantu dua rakannya iaitu Akane Yagi, 45, dan Osamu Nomura, 30.

Ia kali pertama dalam sejarah FAM dan badan pengendali Liga Malaysia, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) melantik pengadil dari luar negara untuk mengendalikan aksi final saingan piala domestik.

Pengadil tempatan, Razlan Joffri Ali, 34, diletakkan sebagai pengadil keempat atau pengadil simpanan bagi perlawanan itu.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam memaklumkan Okabe berpengalaman mengendalikan perlawanan pada Sukan Universiti Dunia 2015 di Gwangju, Korea Selatan, Universiade 2017 di Taiwan dan Sukan Asia 2018 di Indonesia.

Selain itu, beliau turut diberi tugas mengadili perlawanan Liga Juara-Juara Asia dan Piala AFC sepanjang empat tahun terakhir dari 2016 hingga 2019.

Okabe turut pernah mengadili aksi Liga Indonesia, Vietnam dan Australia dalam program pertukaran pengadil antara kedua-dua negara.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Julai 2019 @ 1:38 PM