KARATHU percaya pengukuhan program pembangunan pengadil tempatan mampu melahirkan lebih ramai pengadil berwibawa. FOTO arkib NSTP
KARATHU percaya pengukuhan program pembangunan pengadil tempatan mampu melahirkan lebih ramai pengadil berwibawa. FOTO arkib NSTP
Meor Riduwan Meor Ahmad


PROGRAM pembangunan pengadil tempatan perlu diperkasakan lagi bagi meningkatkan standard profesion berkenaan.

Berpendapat tiada keperluan setakat ini untuk menggunakan khidmat pengadil import, bekas jurulatih dan pemain kebangsaan, Datuk M Karathu berkata, beliau yakin pengukuhan program pembangunan pengadil Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mampu melahirkan lebih ramai pengadil berwibawa untuk Liga Malaysia (Liga M).

Katanya, ini terbukti sebelum ini ada beberapa pengadil profesional tempatan dalam senarai Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan pernah bertugas di Piala Dunia.

“Bagi saya tidak perlu bawa masuk pengadil import. Liga kita bukan banyak sangat dan berstandard tinggi. Yang penting kita bangunkan sendiri pengadil kita. Mesti mengajar pengadil tidak pilih kasih.

“Dalam setiap perlawanan liga bola sepak mesti ada komisioner perlawanan yang memantau perlawanan dan tahu apa kesalahan dibuat seseorang pengadil.

“Mereka akan beri nasihat supaya baiki kelemahan dan ini boleh meningkatkan mutu pengadilan mereka,” katanya dihubungi hari ini.

Karathu berkata, sebagai manusia pengadil luar negara juga melakukan kesilapan dan kini dibantu video bantuan pengadil dan pengadil keempat yang bertugas di tepi gawang dalam keputusan perlawanan.

“Dalam beberapa perlawanan Liga M yang saya tonton, memang pengadil kita cepat keluarkan kad. Cadangan saya mereka tonton bagaimana pengadil yang mengadili perlawanan antarabangsa yang baik.

“Sekarang ini pemain boleh persoal setiap keputusan, cuma tidak boleh guna fizikal, jadi pengadil perlu tenang supaya pemain hormat,” katanya lagi.

Pada mesyuarat perlawanan akhir Piala FA Selasa lalu, Ketua Pegawai Operasi Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Mohd Shazli Shaik Mohd mengesahkan khidmat pengadil dari luar negara tidak akan digunakan dalam perlawanan akhir Shopee Piala FA, Perak menentang Kedah di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 27 Julai ini.

Begitupun, Pengerusi Jawatankuasa Pengadil, Md Dali Wahid dipetik berkata, pihaknya sedia mempertimbangkan kemasukan pengadil asing bagi memantapkan lagi sistem pengadilan bola sepak tempatan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Julai 2019 @ 9:13 PM