McCANN  legenda hoki Australia.
McCANN legenda hoki Australia.
Saiful Affendy Sapran

MAGIS legenda Australia, Michael McCann amat ditagih penyerang skuad hoki negara, Nor Syafiq Sumantri dalam usaha merebut tempat untuk siri Jelajah Eropah bermula 21 Julai depan.

McCann akan tiba Ahad ini dengan misi utama membantu memperbaiki prestasi jentera serangan negara terutamanya bagi menghadapi kempen kelayakan Sukan Olimpik Tokyo yang dijadual berlangsung November depan.

Khidmat McCann ditagih Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) selepas menyaksikan ketumpulan jentera serangan negara ketika Pusingan Akhir Siri FIH di Kuala Lumpur awal bulan lalu.

NUR Syafiq Sumantri. - FOTO Saifullizan Tamadi
NUR Syafiq Sumantri. - FOTO Saifullizan Tamadi

"Pengalamannya beraksi bersama skuad kebangsaan Australia sememangnya amat berguna untuk kami memperbaiki prestasi di bahagian serangan.

"Antaranya mungkin dia dapat memberi input lebih baik bagaimana lebih berkesan di dalam kawasan D serta berkongsi pengalaman waktu paling tepat untuk menjaringkan gol," katanya ketika ditemui pada sesi latihan skuad negara hari ini.

MHC sebelum ini ada menyatakan hasrat mendapatkan khidmat seorang lagi legenda Australia, Jamie Dwyer namun badan induk itu akhirnya memilih McCann.

Sementara itu, Nor Syafiq juga mengakui kehadiran semula pemain berpengalaman, Nabil Fiqri Mohd Noor bakal memberi impak positif di dalam pasukan.

"Dia antara senior saya hormati. Saya percaya Nabil akan beri saingan positif di dalam pasukan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Jun 2019 @ 10:56 PM