MICHAEL McCann.
MICHAEL McCann.
Saiful Affendy Sapran


LEGENDA Australia, Michael McCann mengakui tempoh seminggu tidak cukup untuknya mencurahkan segala ilmu dalam usaha memperbaiki jentera serangan skuad hoki lelaki negara bagi menghadapi siri jelajah Eropah serta kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Bekas pemenang pingat emas Olimpik 2004 itu berkata, tempoh singkat itu hanya dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh beliau untuk memberikan beberapa idea tetapi tidak dapat melihat hasilnya dari sudut lebih meluas.

“Saya rasa dua minggu adalah paling sesuai untuk sesi latihan ini dengan beberapa perubahan besar dapat dilakukan.

“Tapi tugas saya lebih mudah kerana mujur Roelant Oltmans (ketua jurulatih) mempunyai falsafah latihan yang sama seperti saya.

“Apa yang boleh saya bantu ketika ini adalah untuk cuba mengubah mentaliti barisan serangan seperti yang sering diterapkan di Australia serta negara kuasa hoki,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan hari ini.

Bagaimanapun McCann yang menjadi jurulatih kelab utama Bundesliga di Jerman, Mannheim HC selama sembilan tahun berkata, dia akan terus cuba membantu skuad negara selepas ini.

“Saya akan cuba sentiasa mengingatkan Oltmans apa yang perlu dilakukan.

“Oleh kerana saya tinggal di Jerman, saya akan saksikan pasukan Malaysia bertemu Jerman pada siri jelajah Eropah nanti.

“Sebab selain melihat apakah lagi yang boleh dibantu, saya juga ingin melihat beberapa pemain saya yang beraksi bersama skuad kebangsaan,” katanya.

Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) mendapatkan bantuan McCann selama seminggu bermula Isnin lalu selepas menyaksikan ketumpulan jentera serangan ketika Pusingan Akhir Siri FIH bulan lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Julai 2019 @ 7:06 PM