HANIS beraksi dengan kelab Jerman, Wespen Zehlendorfer. — FOTO MHC
HANIS beraksi dengan kelab Jerman, Wespen Zehlendorfer. — FOTO MHC
Saiful Affendy Sapran


SEMUA 12 pemain skuad hoki wanita negara yang mendapat tawaran beraksi dengan kelab Eropah kini boleh meneruskan impian mereka apabila mendapat pelepasan daripada Konfederasi Hoki Malaysia (MHC).

Timbalan Presiden Kanan MHC, Datuk Dr S Shamala berkata, pihaknya sudah mengeluarkan sijil tiada bantahan (NOC) kepada semua pemain itu Isnin lalu.

“Sekarang tiada masalah untuk semua pemain itu beraksi bersama kelab masing-masing di Eropah.

“Kami tiada halangan untuk melepaskan mereka kerana berasakan inilah platform terbaik buat pemain negara menimba pengalaman bersama kelab luar.

FARAH (kanan) bersama kelab England, East Grinstead. — FOTO MHC
FARAH (kanan) bersama kelab England, East Grinstead. — FOTO MHC

“Lagipun ia juga sebahagian daripada persiapan terbaik sekiranya skuad negara berjaya beraksi pada aksi playoff Sukan Olimpik, November depan,” katanya ketika dihubungi.

Shamala berkata, mereka berterima kasih kepada ketua jurulatih, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah yang bersungguh-sungguh berusaha untuk menempatkan pemainnya beraksi dengan kelab luar.

Antara pemain yang mendapat tawaran adalah penjaga gol utama Farah Ayuni Yahya yang kembali ditagih kelab liga utama England, East Grinstead serta pakar pukulan sudut penalti, Nuraini Rashid.

Penyerang utama negara, Hanis Nadiah Onn dan Wan Norfaiezah Saiuti turut kembali ditagih kelab Jerman, Wespen Zehlendorfer bersama Raja Norsharina Raja Shabuddin.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Julai 2019 @ 7:28 PM