Oltmans (kiri) berharap tempoh lebih lama diberikan kepada McCann. FOTO fail NSTP
Oltmans (kiri) berharap tempoh lebih lama diberikan kepada McCann. FOTO fail NSTP
Saiful Affendy Sapran


SESI selama seminggu dilihat agak singkat untuk legenda Australia, Michael McCann mencurahkan ilmunya kepada jentera serangan negara bagi menghadapi siri jelajah Eropah serta play off kelayakan Sukan Olimpik, November depan.

Itu bayangan diberikan oleh pengendali skuad hoki negara, Roelant Oltmans sambil mengharapkan McCann akan diberikan tempoh lebih lama untuk bersama skuad negara.

"Malangnya McCann hanya berada di Malaysia selama seminggu. Saya amat berharap pada masa depan dia akan kembali semula membantu skuad kebangsaan.

"Sebab bagi saya kehadirannya amat penting dalam usaha barisan pemain negara terutama di bahagian serangan mempelajari sesuatu daripadanya.

"Dia mempunyai reputasi hebat selaku penyerang utama Australia dan pernah membimbing Jerman serta kelab di negara itu.

"Falsafah latihannya sama dengan saya, jadi ia memudahkan saya untuk bekerjasama dengannya.

"Matlamatnya hanya satu iaitu membantu barisan serangan negara memperoleh lebih banyak gol," katanya.

McCann yang juga pemenang pingat emas Sukan Olimpik 2004, tiba di sini Ahad lalu dan mula turun ke sesi latihan kelmarin.

Tumpuan utamanya membantu jentera serangan negara memperoleh peratusan jaringan lebih baik terutamanya pada siri jelajah Eropah serta kelayakan Sukan Olimpik.

Jentera serangan negara dilihat agak tumpul pada Pusingan Akhir Siri FIH, Mei lalu yang sekali gus mendorong Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) mendapatkan McCann.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Julai 2019 @ 4:13 PM