PRESIDEN MHC, Datuk Seri Subahan Kamal (kanan) serta Dr S Shamala.
PRESIDEN MHC, Datuk Seri Subahan Kamal (kanan) serta Dr S Shamala.
Saiful Affendy Sapran


KONFEDERASI Hoki Malaysia (MHC) tidak mempunyai masalah untuk mengatur sesi lebih panjang bersama pakar dari Australia, Michael McCann dalam usahanya untuk membantu memantapkan jentera serangan skuad hoki negara.

Timbalan Presiden Kanan MHC, Datuk Dr S Shamala berkata, hanya perkara itu perlu melalui permintaan ketua jurulatih, Roelant Oltmans sendiri.

“Kami akan sentiasa memenuhi apa saja permintaan Oltmans termasuklah jika beliau mahukan tambahan sesi lebih panjang bersama McCann.

“Untuk sesi kali ini memang Otlmans sendiri meminta tempoh selama seminggu untuk McCann hadir membantu barisan serangan negara.

“Bagi kami apa yang penting ialah langkah memanggil McCann diharap dapat memberi impak lebih baik kepada barisan pemain negara terutama di bahagian serangan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas keluhan McCann yang mengakui tempoh seminggu tidak cukup untuknya mencurahkan segala ilmu kepada jentera serangan skuad negara.

Jelas pemenang pingat emas Sukan Olimpik 2004 itu, tempoh singkat itu hanya dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh beliau untuk memberi idea tetapi tidak dapat melihatnya hasilnya dari sudut lebih meluas.

Justeru itu, McCann yang juga jurulatih bagi kelab utama Bundesliga di Jerman, Mannheim HC berkata, dua minggu adalah tempoh paling sesuai untuk sesi latihan lebih komprehensif.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Julai 2019 @ 7:15 PM