TAEKEMA (kiri) ketika memantau latihan sudut penalti skuad hoki negara di Stadium Hoki Indera Mahkota pada Mac lalu.
TAEKEMA (kiri) ketika memantau latihan sudut penalti skuad hoki negara di Stadium Hoki Indera Mahkota pada Mac lalu.
Saiful Affendy Sapran


TIGA pakar akan membantu skuad hoki negara sebagai persiapan akhir sebelum turun pada aksi play off kelayakan Sukan Olimpik di London bertemu Britain pada 2 dan 3 November depan. Ketiga-tiga pakar dimaksudkan itu adalah jurulatih penjaga gol, Martin Drijver; pakar pukulan sudut penalti, Taeke Taekema serta bekas peledak utama Australia, Michael McCann.

Ketua jurulatih skuad negara, Roelant Oltmans berkata, ketiga-tiga pakar itu akan menyertai skuad negara selama seminggu di Belanda sebelum Malaysian Tigers terbang ke London pada 28 Oktober.

"Ketiga-tiga mereka sebelum ini sudah pun mempunyai beberapa sesi latihan dengan skuad negara. Kesemua mereka mempunyai kepakaran masing-masing. Sudah tentu saya mengharapkan pemain dapat memanfaatkan tempoh seminggu ini dengan sebaik-baiknya. "Daripada ketiga-tiga mereka, McCann akan terus bersama pasukan ke London," katanya. Malaysian Tigers akan berlepas ke Belanda esok sebelum melalui dua perlawanan ujian bersama pasukan kelab, HOC Gazellen-Combinatie dan HC Bloemendaal pada 26 dan 27 Oktober ini. Anak buah Oltmans kemudian akan terus ke London untuk dua aksi timbal balik dengan Britain di Pusat Hoki dan Tennis Lee Valley. Pemenang bagi kedua-dua perlawanan itu akan meraih satu tiket ke Tokyo.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Oktober 2019 @ 9:34 PM