Balic sedia kekang serangan Terengganu. FOTO NAZRI ABU BAKAR
Balic sedia kekang serangan Terengganu. FOTO NAZRI ABU BAKAR
Nazri Abu Bakar


SKUAD Melaka akan menjalani latihan seawal 4 Syawal dalam misi menghadapi ujian getir berdepan Terengganu FC (TFC) pada aksi Liga Super pada 15 Jun depan.

Ketua jurulatih Melaka, Zainal Abidin Hassan berkata, cuti Aidilfitri selama enam hari bermula 2 sehingga 7 Jun dikira memadai bagi membolehkan mereka merayakan sambutan bersama keluarga masing- masing.

Menurutnya, sepanjang tempoh terbabit dia mengharapkan semua anak buahnya menjaga pemakanan, kesihatan dan keselamatan termasuk setiap perjalanan sepanjang perayaan dan kembali ke Melaka.

Katanya, dia turut mendoakan pemain petahanan Mohd Faizal Muhamad yang dibedah akibat cedera kemalangan di Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) berhampiran Jabor, Kuantan, baru-baru ini, kembali pulih.

“Berhati-hati di jalanraya bukan sahaja kepada pemain Melaka malah semua penyokong dan masyarakat di negara ini. Semoga semua selamat sampai ke destinasi.

“Apapun fokus terarah kepada persiapan mantap untuk berdepan TFC di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput bagi menharungi perlawanan ke- 16 buat pasukan.

Misi kami adalah meraih mata maksimum,” katanya.

Benteng Melaka akan diketuai oleh import kelahiran Croatia, Dominic Balic serta Jang Suk-won (Korea Selatan) dan Shukor Adan bagi memastikan gawang Hang Tuah tidak dibolosi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Jun 2019 @ 4:01 PM