Suk-Won mahu Melaka raih tiga mata berdepan Kuala Lumpur. FOTO NSTP
Suk-Won mahu Melaka raih tiga mata berdepan Kuala Lumpur. FOTO NSTP
Nazri Abu Bakar


PEMAIN pertahanan import kental Melaka, Jang Suk-won yakin skuad Hang Tuah terus beraksi cemerlang pada baki saingan Liga Super musim ini.

Pemain dari Korea Selatan itu kecewa selepas pasukan itu sekadar seri 3-3 berdepan Terengganu FC (TFC), minggu lalu dan mahu melupakan perlawanan itu dalam misi membantu kemenangan.

Katanya, fokus kini terarah kepada perlawanan berdepan Kuala Lumpur di gelanggang lawan, Rabu ini dengan misi tiga mata milik pasukan.

Menurutnya, keseluruhan persembahan Melaka kian memberangsangkan terutama pada pusingan kedua dan yakin skuad Hang Tuah bakal tampil lebih garang.

“Persefahaman semakin baik. Apa yang penting kami perlu mengurangkan kesilapan dalam permainan untuk memastikan mata diraih.

“Sokongan rakan sepasukan pada tahap terbaik untuk memastikan keputusan positif setiap perlawanan.

Malah sokongan padu peminat turut membantu melonjak moral dan semangat pemain untuk memberikan yang terbaik,” katanya.

Bagaimanapun dia menganggap The City Boys juga bukan lawan mudah walaupun skuad terbabit kini berada di tangga ke-10 liga.

Apapun skuad bimbingan Zainal Abidin Hassan terlepas peluang menduduki tangga ketiga Liga Super selepas seri dengan TFC dan kini berada di tangga kelima liga selepas Selangor mengatasi KL 2-1 pada aksi sama, minggu lalu.

Kini misi Zainal hanya fokus berdepan KL untuk kembali melonjak skuad bimbingannya menduduki tangga keempat dan mengintai kedudukan ketiga liga sebelum berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada 26 Jun di Stadium Hang Jebat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Jun 2019 @ 4:11 PM