PEMAIN Melaka United, Sony Norde (kiri) cuba melepasi asakan pemain Terengganu FC, Mohamad Nasir Basharudin pada perlawanan Liga Super di Stadium Hang Jebat semalam. FOTO Bernama
PEMAIN Melaka United, Sony Norde (kiri) cuba melepasi asakan pemain Terengganu FC, Mohamad Nasir Basharudin pada perlawanan Liga Super di Stadium Hang Jebat semalam. FOTO Bernama
Nazri Abu Bakar


KEMENANGAN besar Johor Darul Ta'zim 7-0 ke atas Perak mendorong jurulatih Terengganu FC (TFC) Nafuzi Zain lebih fokus merangka strategi menjelang aksi skuad bimbingannya berdepan Harimau Selatan 11 September ini.

Baginya, kejayaan besar skuad terbabit ke atas The Bos Gaurus dianggap normal menerusi keupayaan, prestasi dan reputasi gah pasukan itu serta barisan pemain yang mereka ada.

Katanya apa yang lebih penting adalah menyedia dan memantapkan persembahan anak buahnya dalam tempoh seminggu sebelum aksi di gelanggang sendiri kelak.

Menurutnya, pemainnya akan memberikan yang terbaik pada perlawanan terbabit dalam misi berdepan ujian lawan yang memiliki kelas tersendiri di kancah liga bola sepak negara.

Malah dengan kekalahan 0-1 berdepan Melaka di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput semalam memperlihatkan beliau perlu merangka persembahan lebih baik berdepan JDT.

"Pada keseluruhan persembahan pasukan berdepan Melaka tetap memuaskan namun keputusan perlawanan diakui mengecewakan terutama selepas pemain melakukan kesilapan mudah sehingga memberi kemenangan kepada tuan rumah.

"Persembahan penyerang utama Dominique Da Sylva juga tetap memuaskan walaupun dia tidak dapat menjaringkan gol," katanya.

Baginya, dia tetap melihat anak buahnya memperaga persembahan yang memberangsangkan termasuk ketika mengatur gerak, mencipta peluang dan melakukan percubaan.

Sementara itu, jurulatih Melaka, Zainal Abidin Hassan berkata, pemainnya menunjukkan semangat berpasukan dan displin yang amat tinggi sepanjang 90 minit permainan.

Katanya, diketahui TFC memiliki sentuhan penyudah yang amat bahaya namun barisan pertahanan beraksi dengan baik diketuai Jang Suk-won dan Razman Roslan serta pemain lain menutup setiap gerakan lawan merobek gawang pasukan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 September 2020 @ 1:13 PM