Liridon (kiri) buat Melaka tertanya-tanya. FOTO NSTP
Liridon (kiri) buat Melaka tertanya-tanya. FOTO NSTP
Nazri Abu Bakar


MELAKA berkira-kira mencari pengganti pemain tengah, Liridon Krasniqi atau 'Mat Don' selepas pemain terbabit kini menyepi akibat kecederaan yang dialaminya.

Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA), Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi, berkata Mat Don masih berada di Jerman menjalani rawatan pemulihan kecederaan paha dialami.

Katanya, MUSA tiada kepastian bila sepatutnya pemain itu kembali ke pangkuan pasukan selepas tidak dimaklumkan berkaitan status terkininya kepada pengurusan serta jurulatih.

Menurutnya, pemain kelahiran Kosovo itu sepatutnya sudah menyertai latihan lebih awal namun tahap pemulihannya masih menjadi persoalan.

"Malah, tiada tarikh sebenar kepulangannya meletakkan MUSA terpaksa menggunakan khidmat pemain sedia ada terutama anak tempatan di posisi tengah bagi skuad bimbingan jurulatih, Zainal Abidin Hassan.

"Apapun jika kembali menjalani latihan sudah tentu dia perlu mengambil masa membentuk keserasian bersama rakan sepasukan.

Berikutan itu, Melaka perlu mengambil masa panjang membentuk keserasian sebelum ia dapat diturunkan.

“Kami berkira-kira menggantikan pemain terbabit," katanya.

Yusoff sebelum ini menjelaskan Melaka belum cemas dengan isu itu tetapi kini berubah fikiran.

Justeru, dia melihat perkembangan terbaharu dengan berhati-hati dalam masa sama kemungkinan besar khidmat Mat Don akan berakhir.

Bekas pemain Kedah terbabit terlepas enam perlawanan termasuk satu aksi Piala FA jelas mengambarkan situasi sukar buat Melaka kembali menyenaraikannya bersama skuad berkenaan.

Mohd Yusoff berkata, tidak mustahil lagi skuad Hang Tuah menunggu kepulangannya menjelang pusingan kedua Liga Super selepas prestasi pasukan juga kurang menarik akibat kekurangan pemain import.

Selain Mat Don, Melaka memiliki penyerang dari Brazil, Anselmo Casagrande, Darko Markovic (Montenegro), Jang Suk-Won (Korea Selatan) dan Patrick Reichelt (Filipina).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 April 2019 @ 4:16 PM