VETTEL, pelumba Ferrari ketika perlumbaan. FOTO  REUTERS
VETTEL, pelumba Ferrari ketika perlumbaan. FOTO REUTERS
AFP

LEWIS Hamilton berhasrat memburu hatrik kemenangan di Catalan dan kembali mendahului kategori pemandu tahun ini ketika Formula Satu kembali ke Eropah bermula dengan Grand Prix Sepanyol hujung minggu ini.

Juara lima kali itu hanya ketinggalan satu mata di belakang rakan sepasukannya di Mercedes Valteri Bottas, selepas empat kali menamatkan perlumbaan dengan penyudah satu-dua.

Namun seperti juga ketua pasukan Mercedes Toto Wolff, beliau menafikan sebarang andaian bahawa cabaran Ferrari semakin malap malah mengetahui pasukan Itali yang dibantu unit kuasa yang diperbaiki diperkenalkan dua perlumbaan lebih awal daripada yang dijangka, akan memberi cabaran sengit seperti ditunjukkan ketika sesi ujian pra-musim.

“Keputusan mungkin memberikan gambaran jelas, tetapi hakikatnya mereka terlalu merendah diri,” kata Wolff yang menafikan kenyataan juara empat kali dari Ferrari Sebastian Vettel bahawa pasukannya kini bukan pasukan pilihan.

“Prestasi tidak menentu pada empat perlumbaan pertama. Lawan kami lebih pantas pada sesi ujian musim sejuk di sini jadi Grand Prix Sepanyol bukan sesuatu yang mudah.”

Sesi ujian pra-musim di Circuit de Catalunya, yang turut menjadi venue perlumbaan Ahad ini bagaikan sudah lama berlalu ketika Vettel dan rakan sepasukannya Charles Leclerc bergelut mendapatkan aksi dominan kala diperlukan.

Seperti dijangka, kebanyakan pasukan akan tiba di Sepanyol dengan pelbagai pembaharuan untuk kereta mereka yang menyukarkan untuk meramalkan prestasi mereka namun Ferrari lebih dahulu dilihat mengambil pendekatan merendah diri.

“Jelas sekali Mercedes amat kuat pada ketika ini jadi saya pasti mereka juga kuat di Barcelona,” kata ketua pasukan Ferrari Mattia Binotto memperkatakan mengenai cabaran menamatkan dominasi lima tahun Mercedes.

“Empat perlumbaan terdahulu, secara puratanya, kami tidak sampai ke tahap itu. Jadi kami bukan pilihan,” kata Vettel.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Mei 2019 @ 12:48 PM