AFP

Barcelona: Juara dunia Lewis Hamilton berhasrat mengukuhkan cengkaman 27 mata dalam perebutan kejuaraan tahun ini dengan satu lagi kejayaan buat Mercedes pada Grand Prix Sepanyol, hujung minggu ini.

Selepas tiga kemenangan dalam empat perlumbaan, pemandu Britain berusia 30 tahun itu memulakan aksi awal kempen mempertahankan kejuaraannya dengan garang apabila meninggalkan jauh pencabarnya.

Awal minggu ini, pengarah pasukan Mercedes yang juga juara dunia tiga kali, Niki Lauda menganggap pemandu Inggeris itu memandu bagaikan seorang lelaki ‘dari planet lain’.

Itulah yang mungkin dirasai bekas rakan sepasukannya dan wira tempatan, Fernando Alonso apabila dia kembali bertanding di laman sendiri memburu kemenangan sulung dalam tempoh dua tahun selepas meninggalkan Ferrari bagi menyertai pasukan bermasalah McLaren-Honda.

Ketika rakan sepasukan Hamilton di Mercedes dan pencabar kejuaraan Nico Rosberg berusaha menyaingi pendahulu itu dengan jentera sama taraf, nasib Alonso jauh berbeza.

Dia hanya mengharapkan penamat mata di belakang Ferrari, Williams dan pasukan lain manakala penggantinya di Ferrari yang juga juara dunia empat kali, Sebastian Vettel mengintai kemenangan kedua tahun ini.

Rosberg berharap dia mampu menterjemahkan kepantasannya ketika sesi ujian pramusim di Litar Catalunya kepada persembahan kemenangan buat kali pertama sejak Grand Prix Brazil tahun lalu sekali gus menyekat kehebatan Hamilton.

Prinsipal pasukan Mercedes Toto Wolff tidak ragu-ragu Rosberg boleh benar-benar mencabar kejuaraan sekalipun tewas dalam empat sesi kelayakan dan perlumbaan berturut-turut tahun ini.

“Jika anda lihat persembahan mereka ketika kelayakan sebagai contoh di China, hanya 0.04 saat memisahkan mereka,” kata Wolff.

“Ia pasti berbeza jika Nico berada di petak utama. Nico tidak akan tampil dalam Formula Satu sebagai pemenang beberapa perlumbaan dan pencabar kejuaraan andai dia membenarkan dirinya terumbang-ambing selepas beberapa perlumbaan.”

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Mei 2015 @ 8:33 AM