KETUA pasukan Mercedes, Toto Wolff (duduk dua dari kanan) bersama Lewis Hamilton ketika GP Sepanyol. FOTO Reuters
KETUA pasukan Mercedes, Toto Wolff (duduk dua dari kanan) bersama Lewis Hamilton ketika GP Sepanyol. FOTO Reuters

BARCELONA: Kemenangan Grand Prix Sepanyol Ahad lalu mungkin menjadi titik kebangkitan buat Lewis Hamilton dan pasukannya Mercedes tetapi pasukan juara itu tidak mahu terlalu berbangga dengannya.

Perlumbaan berikutnya di Monaco mungkin membawa nasib berbeza, situasi yang menyebabkan ketua pasukan Toto Wolff amat bimbang.

“Saya perlu berhati-hati dengan ramalan,” kata Wolff malam kelmarin ketika Hamilton meraikan kemenangan keduanya berturut-turut dan yang ketiga di Sepanyol.

“Kami menyaksikan persembahan yang tidak menentu dari satu litar ke litar yang lain, malah dari hari ke hari dan itulah pendekatan kami ketika ini.”

Ferrari, dengan Sebastian  Vettel menerajui cabaran mereka menikmati keputusan satu-dua di Monaco tahun lalu, dan biarpun mereka tidak begitu yakin selepas tiga perlumbaan mereka mungkin mempunyai kelebihan kali ini.

“Mengapa kereta kami tidak begitu pantas di selekoh di Monaco, kami masih belum pasti. Kami tahu apa yang silap tahun lalu,” kata Wolff yang mengakui litar di Barcelona sentiasa menyebelahi Mercedes baik ketika perlumbaan mahu pun latihan.

“Biarpun saya teruja dengan kemenangan di Sepanyol, minda saya sudah berada di Monaco dan saya masih ingat keadannya tidak begitu baik tahun lalu.”

Hamilton melepasi kelayakan di petak ke-14 dan menduduki tangga ketujuh dalam perlumbaan tahun lalu.

Kini 17 mata di depan Vettel selepas lima perlumbaan, dia  mempunyai kelebihan selesa dan menunjukkan bahawa dalam perlumbaan yang kurang memberangsangkan musim ini, dia masih mampu merebut mata.

Situasinya juga jauh lebih selesa berbanding Vettel di mana pelumba Jerman yang juga juara dunia empat kali, gagal menduduki podium tiga kali berturut-turut. - Reuters

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Mei 2018 @ 1:41 PM