Aksi pemain Terengganu FC, Adin Aizuddin Ab Latif ketika dihadang Pemain PJ City, Ganiesh Gunasegaran pada saingan Liga Malaysia baru-baru ini.
Aksi pemain Terengganu FC, Adin Aizuddin Ab Latif ketika dihadang Pemain PJ City, Ganiesh Gunasegaran pada saingan Liga Malaysia baru-baru ini.
Malik Muhamad


KETUA jurulatih Terengganu FC (TFC), Irfan Bakti Abu Salim tetap optimis anak buahnya mampu bangkit menyaingi Pahang pada aksi suku akhir pertama Piala FA di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu Rabu ini.

Jurulatih berpengalaman itu menyatakan tewas 0-3 kepada skuad Tok Gajah pada perlawanan kedua Liga Super sebelum ini memberi pengajaran berguna kepada anak buahnya betapa peritnya erti kekalahan itu.

"Berdasarkan rekod pertemuan dalam liga musim ini kita tewas, tetapi pentas Piala FA ini kita mahu bangkit, bagi saya sebenarnya saingan ini hampir sama dengan Piala FA di England kerana pertembungan dua pasukan berjiran itu ada klasik dan keunikannya tersendiri.

IRFAN Bakti
IRFAN Bakti

"Sebagai contoh musim lalu dengan JDT (Johor Darul Ta'zim) ramai pemerhati bola sepak tidak memilih skuad TFC layak ke final Piala Malaysia tetapi akhirnya kita berjaya biar pun prestasi skuad JDT berada dikemuncaknya ketika itu.

"Begitu juga dengan Pahang, ketika mereka menang dengan kita tempoh hari, jurulatihnya, Dollah Salleh menyatakan perlawanan itu adalah aksi terbaik yang ditampilkan pemain mereka tetapi selepas itu habis dan tidak konsisten.

"Justeru perlawanan lalu tidak boleh dijadikan ukuran kerana corak permainan sesebuah pasukan pastinya berbeza apatah lagi pada peringkat suku akhir ini dengan semangat pemain kian membara," kata Irfan.

Beliau berkata, kejayaan menundukkan pasukan Petaling Jaya (PJ City FC) bakal memberi tonik berharga buat pemainnya untuk membawa bekalan selesa sebelum aksi suku akhir kedua pada 10 Mei di tempat lawan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 April 2019 @ 1:50 PM