Pemain Terengganu meraikan jaringan menentang Pahang. FOTO NSTP
Pemain Terengganu meraikan jaringan menentang Pahang. FOTO NSTP
Malik Muhamad


MASIH ada 90 minit lagi.

Itu mesej disampaikan pengendali Terengganu FC (TFC), Irfan Bakti Abu Salim selepas skuadnya menundukkan juara bertahan, Pahang 2-1 pada aksi suku akhir pertama Piala FA di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.

Beliau mengingatkan anak buahnya laluan berliku bakal dilalui pada perlawanan suku akhir pada 10 Mei nanti.

"Perlawanan masih berbaki 90 minit lagi untuk bertarung, apa-apapun boleh berlaku pada suku akhir kedua nanti dan yang penting pemain teruskan rentak cemerlang untuk mara ke separuh akhir," katanya.

Penyerang TFC, Malik Mat Ariff menceriakan kem TFC apabila meletak pasukannya di depan sebelum Kipre Tchetche menambah jaringan kedua.

Irfan kata suku akhir kedua lebih sengit. FOTO NSTP
Irfan kata suku akhir kedua lebih sengit. FOTO NSTP

Jose Eduardo merapatkan kedudukan untuk Pahang menerusi tandukan babak kedua.

Mengulas lanjut, Irfan mengakui disiplin tinggi dipamer anak buahnya dan beraksi satu pasukan menjadi 'senjata' utama skuadnya mengekang pihak lawan dan bukan disebabkan ketiadaan penyerang import lawan, Dickson Nwakaeme.

"Saya puji semua pemain berjaya menyekat pemain lawan terutama di bahagian kiri, malam tadi.

Malah 'senjata' mereka Mohamadou Sumareh tidak dapat bergerak bebas.

"Gaya permainan sebegini yang kita mahukan selain menyerang, kita juga bijak bertahan biarpun jaringan lawan disebabkan pertahanan kita lambat menutup ruang," kata Irfan.

Irfan yakin anak buahnya mampu memperagakan aksi terbaik bermain di tempat lawan.

"Faktor gol tempat lawan tidak merunsingkan saya kerana falsafah saya adalah menyerang kerana berapa lama kita boleh bertahan dengan kelebihan satu gol, sama juga seperti separuh akhir Piala Malaysia musim lalu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Mei 2019 @ 5:11 PM