Malik Muhamad

Kuala Terengganu: Pengendali Kuching City FC (KCFC), Irfan Bakti Abu Salim belum mahu membuat keputusan muktamad lagi sama ada kekal dengan pendiriannya untuk bersara ataupun terus bergelar jurulatih musim depan.

Menurut pengendali berpengalaman berusia 71 tahun itu, tawaran daripada beberapa pasukan yang mahukan khidmatnya selain beliau masih belum lagi menamatkan kursus kejurulatihan Lesen Pro Diploma AFC atau lebih dikenali dengan Lesen Pro A membuatkannya berada dalam dilema.

"Insya-Allah (akan bersara tahun depan), tapi itulah kebetulan saya ada praktikal Lesen Pro A satu lagi...jika saya dapat lesen itu tapi tidak guna, jadi tidak guna juga, Insya-Allah tengoklah keadaan macam mana selepas ini.

"Lagipun setakat ini sudah ada pasukan yang menawarkan kontrak, tapi saya tidak mahu mendedahkan lagi pasukan mana, yang pasti saya sayangkan pasukan Kuching City ini.

"jika saya tidak jadi bersara, saya akan bersama dengan pasukan ini (KCFC), jika tidak saya akan rehat (bersara)," katanya ketika ditemui di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak selepas berakhir aksi suku akhir Piala FA menentang Terengganu FC (TFC), malam tadi.

IRFAN Bakti pada perlawanan suku akhir Piala FA. -FOTO Ghazali Kori
IRFAN Bakti pada perlawanan suku akhir Piala FA. -FOTO Ghazali Kori

Dalam perlawanan yang memihak kepada tuan rumah 4-1 itu, jaringan saguhati skuad The Cats diperoleh menerusi jaringan Amir Amri Salleh pada penghujung babak pertama manakala gol skuad Penyu hasil dua jaringan Kipre Tchetche dan masing-masing satu gol menerusi Mohd Faiz Nasir dan Mohd Faisal Halim.

Mengulas perlawanan itu, bekas jurulatih Terengganu itu akui sudah menjangkakan anak buahnya bakal berdepan dengan tugas sukar untuk menundukkan lawan yang memiliki pemain berkualiti di setiap posisi.

"Apa yang boleh saya ceritakan kami hanya bermain seperti biasa sehingga pada minit ke-68, selepas itu pemain hilang tumpuan, hanya lihat pemain lawan bermain bola serta lawan mudah mengatasi pemain kami.

"Gol kedua dan ketiga lawan adalah jaringan mudah terutama selepas penyerang mereka, Tchetche dimasukkan, jadi banyak kesalahan dilakukan pemain menyebabkan TFC dapat menghasilkan jaringan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Julai 2022 @ 1:05 PM